RM61 juta baik pulih pantai Batu Feringghi - Akmal Nasrullah

GEORGE TOWN - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) meluluskan peruntukan sebanyak RM61 juta bagi melaksanakan projek pemulihan kawasan pantai sepanjang 7 kilometer dari Batu Ferringhi ke Tanjung Bungah.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek tersebut bertujuan mengatasi masalah hakisan yang semakin meruncing dan menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.
“Keadaan pantai semakin teruk akibat hakisan menyebabkan pelbagai aktiviti sukar dijalankan.
"Justeru, kerja pemulihan akan dilakukan bagi mengembalikan daya tarikan kawasan itu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika membuat tinjauan hakisan pantai di Unit Nelayan Paramount di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang, Ooi Soon Lee.
Mengulas lanjut, Akmal Nasir berkata, kerja-kerja pemulihan itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka bermula tahun ini selepas reka bentuk dan konsep kerja diluluskan.
"Kami akan pastikan reka bentuk yang dipilih tidak menjejaskan nilai estetika pantai kerana kawasan ini merupakan tarikan utama pelancong.
"Contohnya, meletakkan batu besar untuk menahan hakisan bukanlah pilihan sesuai kerana ia akan mencacatkan keindahan pantai," katanya.
Akmal berkata, pemulihan melibatkan kerja penambahan pasir dan dijangka mengambil masa enam tahun untuk disiapkan sepenuhnya di bawah Pelan Rolling Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Jelasnya, projek terbabit juga akan melibatkan pembinaan sistem saliran keluar bagi melancarkan aliran air dari sungai ke laut.
"Tiga sungai utama iaitu Sungai Mas, Sungai Kechil dan Sungai Kelian yang mengalir terus ke laut menyumbang kepada isu hakisan serius yang turut mengancam keselamatan penduduk dan pelawat,"katanya.
Sebelum ini media melaporkan masalah hakisan pantai yang berlalu sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang semakin membimbangkan sekali gus memberi kesan buruk kepada keindahan kawasan itu.
Lebih menyedihkan apabila beg-beg pasir yang digunakan sebagai benteng pemecah ombak kini berselerak di sepanjang pesisir pantai.
Tinjauan di Batu Ferringhi mendapati hakisan pantai semakin meruncing di beberapa kawasan yang terletak berhampiran hotel-hotel terkemuka dan menjejaskan pengalaman percutian pelancong yang datang berkunjung serta berisiko.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!