Premis cuci kenderaan haram diserbu

KLANG – Sebuah pusat mencuci kenderaan beroperasi tanpa lesen di Jalan Teluk Pulai, Klang diserbu dalam satu operasi penguatkuasaan dilaksanakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Dalam serbuan tersebut, pasukan penguat kuasa mendapati premis berkenaan beroperasi secara haram tanpa sebarang kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan.
MBDK dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, pemeriksaan lanjut turut mendedahkan bahawa kesemua pekerja di premis terbabit terdiri daripada warga asing.

"Tindakan tegas telah diambil apabila pihak MBDK menjalankan sitaan terhadap premis berkenaan," ujar pihak berkuasa tempatan menerusi hantaran tersebut.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBDK dalam memastikan premis perniagaan di sekitar Klang mematuhi peraturan dan lesen yang ditetapkan.
MBDK menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti perniagaan yang mencurigakan demi menjaga ketenteraman dan keselamatan komuniti setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


