Kes rasuah projek tambak laut: Bersatu, PN tiada kaitan - Tun Faisal

Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Penahanan seorang pemimpin politik berhubung dakwaan rasuah projek tambak laut didakwa tidak mempunyai kaitan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia berikutan kes terbabit didakwa berkaitan urusan konsesi pada 2021 hingga 2023 di mana individu berkenaan ketika itu merupakan bekas Ketua UMNO Tangga Batu.

“Bersatu atau PN tiada kaitan sama sekali dalam urusan konsesi pada tahun 2021 hingga 2023 ini.

“Ia adalah mengenai pertembungan di antara (jawatan) Ketua Menteri Melaka dan kerajaan negeri dengan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Berdasarkan maklumat daripada peguam, ia adalah mengenai soal konsesi syarikat pada 2021 hingga 2023, iaitu ketika zaman pemimpin UMNO menjadi Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan meminta suapan berhubung kontrak kerja penambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Majistret Sharda Sheinha Mohamed Suleiman membenarkan perintah reman terhadap suspek berusia 61 tahun itu selama enam hari hingga Ahad.

Ujar Tun Faisal, beberapa laporan media mengenai isu berkenaan dilihat tidak memberi gambaran atau konteks tepat kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Tajuk berita ‘SPRM tahan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu atas dakwaan rasuah’ tidak betul.

“Semasa tempoh 2021 hingga 2023, beliau masih merupakan Ketua Bahagian UMNO iaitu 10 Disember 2020 sehingga 10 Mei 2023.

“Oleh sebab itu, tajuk lebih tepat adalah ‘SPRM tahan bekas Timbalan Speaker atas dakwaan rasuah’ atau ‘SPRM tahan Bekas Ketua Bahagian UMNO atas dakwaan rasuah’,” ujarnya.

Tun Faisal turut mempersoalkan mengapa individu berkenaan tidak didakwa sewaktu beliau berada dalam UMNO sepanjang 2021 hingga 2023 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!