Pemimpin kanan Bersatu direman kes rasuah projek tambak laut RM44 juta

MELAKA - Seorang pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergelar Datuk Seri direman selama enam hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengenai projek tambak laut di Melaka bernilai RM44 juta.
Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap suspek berusia 61 tahun itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Individu yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Melaka dengan berpakaian lokap SPRM pada jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan khas SPRM.
Sumber berkata, suspek ditahan di pejabat SPRM Melaka pada jam 4.55 petang Isnin berhubung projek tambakan laut di Kota Laksamana membabitkan nilai itu sejak lima tahun lepas.
Menurut sumber, suspek didakwa menerima rasuah berbentuk harta, membabitkan empat kenderaan mewah sebagai timbal balik projek berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!