Calon PN tidak menipu, peroleh tauliah sejak 2014

Idris (kanan) bersama Setiausaha Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham dalam sidang akhbar pada Selasa.
Idris (kanan) bersama Setiausaha Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham dalam sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Pas menegaskan bahawa calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek mempunyai tauliah yang sah dan tidak pernah menipu mengenainya.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, naratif yang cuba dimainkan pihak lawan adalah tidak berasas, memandangkan proses mendapatkan

tauliah mengajar agama di Perak bukan sesuatu yang mudah.

"Ustaz Muhaimin memperoleh tauliah sejak tahun 2014. Bukan senang nak dapat tauliah, saya sendiri pun ada (tauliah) dan pernah lalui proses itu yang mana kita berhadapan dengan panel-panel termasuk mufti dan timbalan mufti.

"Jadi, nak tuduh orang tipu tauliah, kena faham maksudnya dulu. Tipu tauliah ni maksudnya tak ada tauliah langsung, (isu dibangkitkan) ini bukan kes itu," katanya kepada pemberita dalam Sidang Media Harian PN sempena PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini pada Selasa.

Idris yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning berkata, tiada sebarang keperluan undang-undang di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang pemegang tauliah daripada menjadi calon pilihan raya.

Justeru beliau mengingatkan agar mana-mana pihak tidak mengalihkan isu sebenar dengan memainkan sentimen kelayakan atau tauliah secara tidak jujur.

"Yang buat laporan (polis) terhadap Ustaz Muhaimin, belum tentu sendiri ada tauliah," katanya.

Pada Isnin, Pemuda Amanah Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh calon PN pada PRK DUN Ayer Kuning.

Mereka mendakwa Abd Muhaimin memperoleh tauliah mengajar agama daripada Jabatan Mufti Negeri Perak meskipun memegang jawatan politik yang disifatkannya bercanggah dengan garis panduan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Mengulas dakwaan PN menggunakan gambar seorang ahli Barisan Nasional (BN) tanpa kebenaran sebagai bahan kempen, Idris berkata, situasi itu berlaku tanpa disengajakan dan di luar kawalan.

Katanya, dalam siri kempen dijalankan, setiap calon berjumpa dan menyantuni penduduk tanpa mengira latar belakang politik.

"Kita ambil gambar kemesraan, kita bercakap dan bersembang tanpa kita tahu pun individu itu menyokong parti mana. Nampak menarik kita letakkan sebagai calon yang mesra. Bukannya kita fitnah dengan masukkan baju Pas atau baju PN.

"Apa pun dalam hal ini, jika individu tersebut tidak bersetuju, kita boleh turunkan dan minta maaf...tiada masalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!