Isu tauliah: PN mahu pihak yang mendakwa kemukakan bukti

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) mahu pihak yang mendakwa calon dari gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak, Abd Muhaimin Malek menipu dalam urusan permohonan tauliah mengajar agama di negeri berkenaan mengemukakan bukti.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini kerana Abd Muhaimin sudah menjadi guru agama yang bertauliah di negeri berkenaan.
"Apa-apapun kita (PN) serahkan kepada Abd Muhaimin untuk memberikan penjelasan," katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Parlimen Kota Bharu di sini pada Isnin.
Sebelum ini, wujud dakwaan daripada beberapa pihak bahawa Abd Muhaimin didakwa menipu dalam proses permohonan mendapatkan tauliah mengajar agama.
Terbaharu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi memaklumkan bahawa tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi sekiranya dakwaan tersebut benar.
Ini kerana katanya, rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

