Aaron-Wooi Yik tutup mulut pengkritik

Aaron-Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik.
A
A
A

DALAM dunia sukan, tiada kisah lebih memukau berbanding kebangkitan wira yang pernah diragui.

Tahun 2025 menyaksikan detik bersejarah itu apabila pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengharumkan nama negara apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China.

Sedangkan beberapa minggu sebelum kejohanan, prestasi pasangan yang menduduki ranking keenam dunia itu dipersoalkan.

Kekalahan awal di Orleans Masters dan Seluruh England, ditambah kecederaan ringan Aaron telah mencetuskan keraguan serta menyebabkan pelbagai suara sinis muncul.

Malah, kritikan bertalu-talu membanjiri media sosial. Ada yang mencadangkan pasangan itu dirombak, ada yang meragui keserasian mereka.

Namun, Aaron dan Wooi Yik memilih berdiam diri tidak menjawab dengan kata-kata. Mereka tidak ‘koyak’ dengan kritikan, sebaliknya berlatih lebih keras, mengukuh komunikasi dan membina semula kepercayaan diri.

Bak kata orang, biar raket dan aksi atas gelanggang mereka yang berbicara nanti!

Di Ningbo, mereka juga bukan hadir sebagai pilihan utama, tetapi tampil sebagai pencabar berbahaya. Satu demi satu lawan utama ditundukkan termasuk juara bertahan dari China, Liang Weikeng-Wang Chang di separuh akhir.

Mereka bukan sekadar turun bermain di atas gelanggang tetapi mereka berjuang demi maruah.

Artikel Berkaitan:

Di pentas akhir, mereka berdepan wakil tuan rumah yang lebih muda dan bertenaga tetapi Aaron-Wooi Yik membuktikan bahawa pengalaman, disiplin serta semangat patriotisme masih relevan.

Dengan gerakan tersusun dan semangat berkobar, mereka merangkul kejuaraan BAC iaitu pertama dalam kerjaya mereka. Ternyata Ningbo menjadi medan membuktikan segalanya.

Kemenangan ke atas Chen Bo Yang-Liu Yi, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan 18 tahun yang kali terakhir diraih gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007.

Kejayaan ini juga satu isyarat penting buat barisan pemain muda bahawa dalam sukan, jalan tidak pernah lurus kerana akan ada luka, akan ada kecewa.

Namun, selagi ada semangat, selagi hati tidak berputus asa, cahaya akan tetap menyinar di hujung terowong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!