X

Kindly register in order to view this article
!

Demokrasi yang ‘diperkosa’

A
A

MINGGU lalu kita menyaksikan suatu saat getir dalam situasi politik negara. Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh dan kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri Interim.

Sepanjang menunggu Perdana Menteri kelapan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, pelbagai drama kita saksikan. Di saat itu jugalah dapat kita menyaksikan bagaimana perilaku wakil rakyat di negara kita.

Pendirian masing-masing sering berubah-ubah. Sekejap menyokong Dr Mahathir, sekejap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan macam-macam lagi. Itu belum lagi ada yang awalnya menyatakan sokongan kepada seorang pemimpin lain, kemudian menukar sokongan dan akhirnya menuntut agar Parlimen dibubarkan.

Bermacam-macam kerenah, pelbagai jenis drama yang berlaku. Sampaikan kita rakyat hilang arah dan minat hendak melihat apa yang sedang berlaku dengan situasi politik negara.

Akhirnya, rakyat hanya menunggu untuk melihat apakah episod akhir kepada drama politik negara ini.

Dengan apa yang telah dan sedang berlaku, kita dapat melihat bagaimana nafsu pada kuasa dan wang akhirnya menyebabkan demokrasi di negara ini ‘diperkosa beramai-ramai’ oleh para politikus kita. Kita rakyat hanya mampu melihat, tanpa ada sebarang daya dan upaya untuk menghalangnya.

Perlembagaan negara bagai dipermain-mainkan oleh mereka kerana terdapat lompong kecil padanya. Pergelutan kuasa antara politikus membawa kepada kejatuhan pasaran dagangan di Bursa Malaysia. Ekonomi juga masih tidak sesihat dahulu tetapi politikus rancak cuba merebutkan kuasa.

Biarpun Seri Paduka Baginda sudah menjalankan tanggungjawab sebaiknya dalam memastikan bakal Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, namun bidang kuasanya masih terhad. Pilihan Seri Paduka Baginda masih boleh dicabar di Parlimen melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Percaturan

Saya melihat kesilapan percaturan politik ini bermula dengan tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri sedangkan ada cara lain untuk menghalang perkara ini daripada berlaku. Begitu juga dengan kegopohan Bersatu hendak mengkhianati perjuangan dan perjanjian dalaman Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, Bersatu kekal berkuasa dengan bersandarkan kepada sokongan daripada ‘Kumpulan Azmin’, Gabungan Parti Sarawak, Parti Warisan Sabah dan gabungan Muafakat Nasional merangkumi UMNO dan Pas. Muhyiddin juga dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan. Anwar pula kekal kempunan untuk menjadi Perdana Menteri.

Namun, pegangan jawatan Muhyiddin belum cukup kukuh. Beliau masih boleh dicabar melalui undi tidak percaya di Parlimen kelak.

Dijangkakan Parlimen bersidang pada 9 Mac ini. Jadi sama-sama kita saksikan sama ada Pakatan Harapan (PH) berjaya membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak pernah berhadapan dengan usul undi tidak percaya, namun usul tersebut gagal. Kini, Muhyiddin mungkin menjadi Perdana Menteri kedua berhadapan usul undi tidak percaya di Parlimen.

PH pula sudah pasti tidak akan berhenti selagi mereka merasakan masih ada peluang untuk berjuang mengembalikan kuasa mereka di Putrajaya.

Muhyiddin dan sekutunya juga sudah tentu tidak akan berdiam diri.

Kita berdukacita melihat bagaimana demokrasi di negara ini diperkotak-katikkan oleh politikus kita sendiri.

Biarlah adegan usul undi tidak percaya di Parlimen menjadi adegan terakhir kepada krisis politik negara hari ini. Selepas itu, kita merayu kepada para politikus untuk kembali bekerja dan memajukan ekonomi negara dan kebajikan rakyat di negara ini.

Terima kasih kepada semua menteri PH yang menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

Tahniah, Tan Sri Muhyiddin Yassin!

* Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!