Afdlin Shauki mahu terus berbakti

Afdlin (tengah) mahu terus berbakti kepada masyarakat menerusi pentas politik.
Afdlin (tengah) mahu terus berbakti kepada masyarakat menerusi pentas politik.
A
A
A

DIKENALI ramai sebagai seniman serba boleh, Datuk Afdlin Shauki kini mengambil langkah seterusnya dalam khidmat kepada masyarakat dengan menceburi dunia politik.

Pengalaman luas beliau dalam kerja kebajikan menerusi Yayasan Afdlin Shauki (YAS) membuktikan komitmennya terhadap rakyat, dan kini beliau tampil menawarkan kepimpinan yang lebih berstruktur, sistematik dan berakar pada keperluan sebenar komuniti.

Prinsip beliau mudah; bantuan harus turun ke lapangan, bukan menunggu permohonan dan pemimpin harus hadir bukan hanya ketika perlu mengundi, tetapi ketika rakyat benar-benar memerlukan.

Berpegang kepada prinsip itulah, Afdlin mengambil langkah berani untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Setiawangsa dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini.

"Jawatan ini bukan satu platform untuk kepentingan diri atau agenda politik semata-mata. Sebaliknya, ia adalah lanjutan kepada perjuangan sosial yang telah pun saya lalui selama ini.

Afdlin berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat, mesra komuniti, dan mesra perpaduan, tanpa sempadan kaum, agama mahupun latar belakang sosial.
Afdlin berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat, mesra komuniti, dan mesra perpaduan, tanpa sempadan kaum, agama mahupun latar belakang sosial.

“Saya datang bukan untuk berjanji, tetapi untuk terus berbakti. Sudah lama saya bersama masyarakat tanpa gelaran dan pangkat, kini saya hanya memohon mandat agar dapat meluaskan lagi khidmat saya dengan lebih tersusun dan sistematik.

"Setiawangsa harus menjadi model cabang yang aktif, peduli dan membina,” ujarnya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya bahawa kekuatan sesebuah parti politik terletak pada kemantapan cabang. Jika cabang diurus dengan baik, ikhlas dan penuh semangat kebersamaan, maka ia akan menjadi benteng paling kukuh dalam menjayakan agenda reformasi parti.

Sebagai cerminan kepada pendekatan dan jiwa kepimpinannya, pengarah Harimau Malaya: The Untold Journey itu memperkenalkan motto 'Mesra Setiawangsa' - satu prinsip yang menjiwai seluruh gerak kerja beliau.

"Mesra bukan hanya pada senyuman di muka, tetapi pada kehadiran yang menyentuh hati, tindakan yang mempermudah urusan, serta pendekatan yang inklusif dan penuh empati.

“Saya mahu mengangkat semula peranan cabang sebagai pusat perjuangan sebenar parti bukan sekadar sebagai struktur organisasi, tetapi sebagai tempat masyarakat mendapatkan pembelaan dan inspirasi.

“Malah, saya juga melihat bahawa kepimpinan cabang harus dikembalikan kepada individu yang benar-benar mempunyai masa, tenaga dan komitmen untuk turun padang, mendengar keluhan ahli dan rakyat, serta melaksanakan solusi secara berterusan dan berkesan,” katanya lagi.

Beliau turut berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat, mesra komuniti, dan mesra perpaduan, tanpa sempadan kaum, agama mahupun latar belakang sosial.

"Saya menyeru semua ahli PKR di Setiawangsa untuk turun mengundi dan memilih dengan hati. Pilihlah kepimpinan yang bukan sahaja memahami, tetapi juga merasai perit getir perjuangan di bawah.

"Pilihlah suara yang sentiasa mendengar, tangan yang sentiasa membantu, dan hati yang sentiasa ada untuk rakyat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!