Perang tarif: Restoran China kenakan caj perkhidmatan 104 peratus kepada pelanggan AS

WUHAN – Sebuah kedai barbeku daging di Wuhan, China mencuri perhatian ramai selepas mengumumkan caj perkhidmatan sebanyak 104 peratus kepada pelanggan dari Amerika Syarikat (AS).
Pengumuman itu dipaparkan di luar premis berkenaan menerusi nota yang berbunyi: “Mulai hari ini, kedai kami akan mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 104 peratus kepada pelanggan dari AS. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Kedutaan AS.”
Langkah tersebut dikatakan sebagai reaksi terhadap keputusan Presiden AS, Donald Trump, yang menaikkan tarif import dari China daripada 54 peratus kepada 145 peratus berkuat kuasa 10 April 2025. Sebagai tindak balas, China turut mengenakan tarif baharu ke atas import dari AS sebanyak 125 peratus bermula 11 April.
Menurut laporan South China Morning Post, tindakan mengenakan caj perkhidmatan itu merupakan antara bentuk protes yang dilakukan oleh beberapa perniagaan di China terhadap dasar tarif AS.
Selain kedai barbeku, beberapa premis lain seperti kedai cermin mata juga mempamerkan notis serupa, mengenakan caj perkhidmatan sehingga 125 peratus terhadap pelanggan dari AS.
Malah, terdapat juga perniagaan yang mengambil pendekatan lebih tegas dengan menghentikan penjualan produk-produk dari AS termasuk beberapa pengeluar kasut yang mengumumkan tidak lagi akan bekerjasama dengan rakan perniagaan dari negara tersebut.
Dalam suasana ketegangan perdagangan yang memuncak ini, segelintir peniaga dilaporkan mula menjauhkan diri daripada barangan Amerika seperti telefon pintar. Beberapa kedai dilaporkan telah menghentikan penjualan iPhone dan produk Apple sebagai tanda protes. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

