Tengku Maimun bersuara demi penambahbaikan, bukan kecaman – Syahredzan

Laporan Sinar Harian berhubung gesaan Nazri tindakan tegas dikenakan terhadap Tengku Maimun. (Syahredzan Johan)
Laporan Sinar Harian berhubung gesaan Nazri tindakan tegas dikenakan terhadap Tengku Maimun. (Syahredzan Johan)
A
A
A

SHAH ALAM – Ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu persidangan undang-undang baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan isu dan wajar diterima dengan hati terbuka.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan bahawa ucapan tersebut bersifat umum dan tidak ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun Kerajaan Madani.

Sebaliknya, jelas beliau, ucapan itu menyentuh keperluan menambah baik proses pelantikan hakim dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Ucapan Tun Tengku Maimun menyokong usaha reformasi dalam sistem kehakiman, termasuk penambahbaikan proses pelantikan hakim.

"Ini selari dengan komitmen Perdana Menteri yang juga telah menyatakan bahawa kerajaan akan melihat semula proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mempersoalkan ucapan Ketua Hakim Negara dalam Persidangan Undang-Undang Komanwel di Malta.

Mohamed Nazri, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, dilaporkan menggesa agar tindakan diambil terhadap Tun Tengku Maimun susulan ucapannya itu.

Menurut Syahredzan, kenyataan Ketua Hakim Negara tersebut harus dilihat sebagai satu cadangan membina demi menjamin kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara, khususnya di bawah kepimpinan beliau yang telah banyak memulihkan keyakinan terhadap institusi tersebut.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan bahawa komitmen Kerajaan Madani terhadap reformasi institusi jelas terbukti, dan sebarang pandangan untuk penambahbaikan wajar diraikan secara matang.

Artikel Berkaitan:

“Kita seharusnya berlapang dada dan menerima pandangan ini dengan hati terbuka. Ia bukan serangan, sebaliknya satu usaha untuk memperkukuh institusi kehakiman negara,” ujarnya lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!