Dakwaan hapuskan monopoli Petronas hanya taktik pembangkang - Rafizi

RAFIZI
RAFIZI
A
A
A

PUTRAJAYA- Kerajaan menolak dakwaan pembangkang bahawa satu formula baharu sedang dirancang untuk menghapuskan monopoli Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam industri gas, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Sebaliknya beliau berkata, pihaknya dalam proses akhir memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Negara yang akan dilancarkan tahun ini.

"Pembangkang ada taktik baharu, guna nama Petronas untuk takut-takutkan rakyat.

"Bukan untuk 'memangsakan' Petronas tetapi untuk mengurangkan beban di masa depan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Pada ketika ini Rafizi berkata, mana-mana syarikat pun boleh saja mengimport gas asli cecair (LNG) untuk dijual ke pasaran.

"Infrastruktur regassification dan paip gas memang dimiliki Petronas tetapi sebab kita ada kerangka akses kepada pemain industri melalui akses pihak ketiga, mana-mana syarikat boleh mengimport LNG dan dijual ke pasaran," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, syarikat lain tidak menunjukkan minat dalam industri tersebut menyebabkan hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik dibuat oleh Petronas.

"Perkara ini menimbulkan beban kepada Petronas kerana kebergantungan negara kepada Petronas semata-mata.

"Sekiranya harga yang diimport Petronas ini lebih tinggi daripada harga yang dijual kepada pasaran, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Pelan Hala Tuju Gas Negara, Rafizi menjelaskan ia bertujuan untuk merancakkan rantaian nilai gas domestik, memandangkan negara terpaksa import lebih banyak LNG selepas ini kerana pengeluaran gas bagi kegunaan pasaran Semenanjung semakin berkurangan.

Katanya, apabila lebih banyak syarikat menceburi perdagangan gas dan mengimport LNG untuk dibekalkan, kedudukan Petronas dan negara adalah lebih baik dari beberapa sudut.

"Pertama, Petronas dapat menjana pendapatan tambahan kerana syarikat ini perlu membayar yuran akses untuk menggunakan infrastruktur gas.

"Kedua, risiko Petronas berdepan kerugian kerana memikul beban sebagai satu-satunya pengimport LNG juga berkurangan," ujarnya.

Ketiga, Rafizi berkata, bekalan gas akan menjadi lebih terjamin kerana industri mempunyai pemain yang lebih banyak.

"Keempat, kita boleh menarik pelaburan baharu ke dalam industri gas hiliran," katanya.

Tegasnya, beliau berada dalam keluarga Petronas sejak berusia 18 tahun iaitu sebagai penerima biasiswa hinggalah umur 32 tahun.

"Tak masuk akal orang macam saya nak memangsakan Petronas.

"Kalau ya pun nak spin, jangan lebih-lebih," dakwanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!