Legasi 30 tahun keluarga Yong jual surat khabar masih bertahan

SELAYANG – Seorang peniaga surat khabar tetap bersemangat meneruskan perniagaan yang diasaskan oleh mendiang bapanya lebih tiga dekad lalu di Taman Selayang Baru di sini.
Yong Chee Kian, 51, berkata, sejak kecil dia sudah terbiasa melihat bapanya, Yong Lim menguruskan perniagaan surat khabar di kawasan itu.
Menurut Chee Kian, dia kini meneruskan legasi keluarga bukan sekadar mencari rezeki, tetapi juga menghidupkan semangat dan kenangan bersama bapanya.
"Saya membesar dengan perniagaan ini. Dulu, ayah yang menguruskannya dan saya sering membantu sejak usia remaja. Sekarang, giliran saya untuk meneruskannya," katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Selayang Baru.
Meskipun berdepan cabaran seperti kemerosotan pembaca akhbar cetak akibat kebangkitan media digital, Chee Kian tetap yakin masih ada pelanggan setia yang menghargai helaian kertas berita setiap pagi.
"Ramai pelanggan tetap saya adalah warga emas yang masih suka membaca surat khabar sambil menikmati kopi pagi. Selain itu, ada juga pelanggan yang membeli untuk rujukan kerja dan koleksi," tambahnya.

Menariknya, perniagaan ini bukan diusahakan Chee Kian seorang diri, dia turut dibantu oleh ahli keluarga, termasuk ibunya yang masih aktif walaupun sudah lanjut usia.
"Kami bekerja sebagai satu pasukan. Walaupun industri ini semakin mencabar, selagi ada permintaan, saya akan teruskan," ujarnya.
Bagi pelanggan tetapnya, gerai surat khabar Chee Kian bukan sekadar tempat membeli berita, tetapi juga lokasi bertukar cerita dan berbual santai setiap pagi.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam perniagaan ini, Chee Kian tetap teguh berpegang pada prinsip bahawa selagi ada pelanggan menghargai surat khabar fizikal, dia akan terus menjualnya dan meneruskan legasi mendiang bapanya dengan bangga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


