Zahirah MacWilson kembali aktif, keluarga tetap utama

SETELAH hampir setahun berehat selepas melahirkan anak kedua, Inara Raisa, pelakon jelita Zahirah MacWilson kini kembali aktif dalam dunia seni dengan semangat baharu.
Tidak menafikan rindu dengan rutin penggambaran drama, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu meluahkan rasa syukur kerana masih dihujani tawaran berlakon baik drama mahupun filem.
"Kehidupan sudah berubah, saya kini ada keluarga dan anak-anak. Tapi saya tetap cintakan lakonan, itu adalah minat saya yang pertama.

"Walaupun cuti selepas bersalin, saya masih terikat dengan beberapa kerja sebagai duta produk dan sebagainya. Cuma penggambaran sahaja yang saya tolak sebelum ini.
"Bagaimanapun alhamdulillah saya akan kembali ke set penggambaran tidak lama lagi. Produksi ini bersetuju dengan beberapa permintaan saya.
"Antaranya adalah waktu penggambaran yang tidak melebihi 12 jam, ikutkan sebelum mempunyai anak pun, saya lebih selesa dengan tempoh penggambaran yang tidak terlalu panjang," ujarnya kepada Sinar Harian.
Zahirah berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta ULIKE, satu jenama antarabangsa yang menawarkan peranti inovatif penjagaan diri.
Tambah Zahirah, jika sebelum ini dia selesa menguruskan anak sulungnya, Isaac Raees, 4, tanpa kehadiran pembantu, namun kali ini, wanita berusia 30 tahun itu mengambil pendekatan berbeza.

Ujarnya, bagi memastikan kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu dapat diuruskan sebaiknya, Zahirah mengakui mengambil pembantu bagi membantu menguruskan anak-anak.
"Setakat ini, saya dan Aiman jaga sendiri kedua-dua anak kami dengan bantuan pembantu. Jadi bila saya sibuk di set, Aiman akan jaga dan begitu sebaliknya sekiranya Aiman ada penggambaran," katanya.
Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dengan ULIKE, Zahirah berkata, dia sudah mendapat tawaran daripada syarikat tersebut setahun lalu, tetapi hanya dapat berkongsi khabar gembira tersebut baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

