Laung azan ketika rumah dibadai ribut

Rumah penduduk di Kampung Pak Darus, Taiping mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas dibadai ribut pada Ahad.
Rumah penduduk di Kampung Pak Darus, Taiping mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas dibadai ribut pada Ahad.
A
A
A

TAIPING – Tujuh keluarga di Kampung Pak Darus, Simpang, di sini berdepan detik cemas apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut pada Ahad.

Penduduk, Rosnani Che Meh, 52, berkata kejadian ribut yang disusuli hujan lebat itu menyebabkan tujuh ahli keluarganya, termasuk seorang bayi berusia empat bulan, basah kuyup.

“Ketika kejadian, saya sedang mendodoi cucu di dalam bilik sebelum terdengar bunyi angin menderu kuat hingga bumbung rumah terangkat.

“Saya cuba keluar tetapi pintu tersekat akibat tekanan angin. Anak-anak mula melaungkan azan, barulah keadaan menjadi reda,” katanya ketika ditemui.

Suri rumah itu berkata, sepanjang lebih 30 tahun menetap di kampung tersebut, ini kali pertama mereka mengalami kejadian sedemikian dan masih berasa trauma.

“Keseluruhan bumbung rumah kami terangkat menyebabkan barangan serta kelengkapan rumah rosak dan basah terkena hujan.

“Malam ini kami terpaksa berlindung di Dewan Serbaguna Taman Kaya berhampiran sambil memikirkan cara membaiki kerosakan rumah,” katanya.

Rosnani melihat keadaan bumbung rumahnya yang telah diterbangkan angin kencang dalam kejadian pada Ahad.
Rosnani melihat keadaan bumbung rumahnya yang telah diterbangkan angin kencang dalam kejadian pada Ahad.

Sementara itu, pesara tentera, Azmirul Yahaya, 41, berkata beliau berasa tidak sedap hati apabila melihat pokok-pokok tumbang di tepi jalan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika kejadian, beliau baru sahaja membawa dua anak perempuannya yang berusia lapan dan enam tahun bersiar-siar di sekitar Taman Tasik Taiping sementara isterinya masih bekerja.

“Dalam perjalanan pulang, hujan sangat lebat dan sebaik tiba di rumah, tekaan saya tepat apabila bumbung sudah tercabut dan jatuh di halaman.

“Saya turut melaungkan azan kerana hujan ketika itu sangat luar biasa. Saya bersyukur tiada sesiapa berada di rumah semasa kejadian,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, dianggarkan lebih 70 rumah terjejas akibat kejadian tersebut, melibatkan Kampung Pak Darus, Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya dan beberapa kawasan lain.

Keseluruhan bumbung rumah milik Rosnani diterbangkan angin menyebabkan barangan dalam rosak rosak terkena hujan.
Keseluruhan bumbung rumah milik Rosnani diterbangkan angin menyebabkan barangan dalam rosak rosak terkena hujan.

“Kebanyakan bumbung rumah penduduk rosak diterbangkan angin kuat. Saya telah mengarahkan wakil setiap kawasan untuk mengumpul data kerosakan yang berlaku.

“Tindakan segera telah diambil termasuk menempah zink dan memanggil kontraktor untuk membantu penduduk. Kerja-kerja pemasangan bumbung akan dilaksanakan secara gotong-royong pada Isnin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan puluhan rumah penduduk rosak akibat ribut disertai hujan lebat yang melanda beberapa daerah di Perak lewat petang Ahad.

Kejadian yang berlaku antara jam 4.30 petang hingga 6.30 petang itu melibatkan enam kampung di sekitar Perak Tengah, tiga kampung di Hilir Perak dan tujuh kawasan di Larut Matang Selama, dengan beberapa kejadian pokok tumbang turut dilaporkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!