Ajaran sesat tawar 'tiket ke syurga' serendah RM1,842

KOTA AMBON - Ajaran sesat ini menawarkan tiket ke syurga bermula daripada 7 juta rupiah (RM1,842) hingga 15 juta rupiah (RM3,949).
Aliran yang muncul di Dusun Limboro, Kecamatan Huamual Kabupaten Seram Bagian Barat, Maluku itu juga mengajarkan kepada para pengikutnya bahawa tidak perlu menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan membayar zakat seperti terkandung dalam Rukun Islam.
Aktiviti kumpulan tarekat itu yang sudah jauh terpesong bagaimanapun diadukan kepada pihak berkuasa dan mendapat perhatian Majelis Ulama Indonesia (MUI).
Setiausaha MUI Kabupaten Seram Bagian Barat, Syuaib Pattimura mengesahkan mereka telah bertemu dengan keempat-empat pemimpin tarekat tersebut setelah mereka diberkas polis pada minggu lalu.
"Kumpulan itu memiliki kitab mereka sendiri digelar 'perisai diri' yang mengubah surah al-Fatihah dan beberapa surah lain daripada al-Quran serta mengubah suai kalimah syahadah.
"Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam," ujarnya sambil menambah pemimpin kumpulan itu juga gagal menjawab ketika disoal tentang dalil ajaran mereka.
Menurutnya, mereka juga menawarkan tiket ke syurga buat pengikut yang mahu 'menghantar' kedua-dua ibu bapa mereka.
"Kami telah menghentikan aktiviti mereka dan akan terus menyelaraskan tindakan lanjut bersama MUI Maluku dan Kementerian Agama untuk menangani masalah itu," jelasnya.
Aliran itu terbongkar selepas 'diamuk' penduduk di Dusun Limboro yang berang dengan ajaran sesat disampaikan mereka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

