Petani joget sakan di TikTok cetus fenomena

Sadbor mempopularkan 'joget patuk ayam' yang menjadi tular di media sosial.
Sadbor mempopularkan 'joget patuk ayam' yang menjadi tular di media sosial.
A
A
A

JAKARTA - Sebuah perkampungan di Sukabumi di Jawa Barat, Indonesia kembali riuh dengan aksi kumpulan petani berjoget sakan sambil live di TikTok.

Gelagat mereka yang mendapat julukan 'kampung Tiktokers' turut menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi warganet pada awal bulan lalu.

Mereka sekali lagi meninggalkan cangkul dan sawah serta aktif di platform perkongsian video pendek itu demi untuk mendapatkan saweran (mengutip wang daripada penonton).

Pada kali ini, kumpulan itu yang sudah beralih profesi menjadi live streamer beramai-ramai 'joget wadidaw' setelah mereka berjaya memperoleh pendapatan alternatif.

Aksi mereka mula meraih perhatian pada akhir Oktober lalu setelah 'demam joget Sadbor' berhasil memperoleh pendapatan mencecah jutaan rupiah sebulan.

'Joget wadidaw' menggantikan 'joget Sadbor' yang pernah mencetuskan fenomena pada akhir tahun lalu.
'Joget wadidaw' menggantikan 'joget Sadbor' yang pernah mencetuskan fenomena pada akhir tahun lalu.

Fenomena itu pertama kali dipopularkan oleh tukang jahit, Gunawan yang merupakan pemilik akaun @sadbor86 di TikTok.

Dia yang mesra disapa Sabdor mencipta gerakan tarian digelar 'joget patuk ayam' sebelum ia ditukar menjadi 'joget Sadbor'.

Artikel Berkaitan:

Sadbor bersama rakan-rakannya turut dikenali pengguna TikTok dengan ucapan ikonik, 'eksen bor bor beras habis bor, joget lah' atau kata-kata kreatif lain yang menyebut tentang 'beras habis'.

Penonton yang terhibur dengan tarian mereka yang berlatarbelakangkan kebun dan sawah memberikan gift atau hadiah virtual hingga mereka berjaya menjana pendapatan berjumlah 200,000 rupiah (RM52) hingga 700,000 rupiah (RM184) sehari atau dianggarkan mencecah 21 juta rupiah (RM5,528) sebulan.

Sadbor selaku 'ketua' live streamer itu hanya mengambil kira-kira 20 peratus daripada keuntungan tersebut dan selebihnya dibahagikan kepada rakan-rakannya.

Aktiviti live streaming di Kampung Margasari, Desa Bojongkembar, Kecamatan Cikembar itu bagaimanapun terhenti seketika selepas Sadbor ditahan pihak berkuasa kerana didakwa mempromosikan kegiatan judi dalam talian.

Pendapatan alternatif

Ketika 'joget Sadbor' popular, kira-kira 300 penduduk kampung melakukan live pada setiap hari menerusi 50 akaun di TikTok.

Ramai yang sanggup meninggalkan pekerjaan utama sebagai petani kerana hasil saweran yang lebih lumayan dan dapat memenuhi keperluan keluarga malah boleh membeli kenderaan.

Hasil Survei Pertanian Terintegrasi (Sitasi) tahun 2021 yang dilaksanakan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) mendapati rata-rata pendapatan bersih petani skala kecil berjumlah 5.23 juta rupiah (RM1,378) setahun.

Ia jauh berbeza dengan hasil sebagai pempengaruh yang boleh meraih kira-kira 1 juta rupiah (RM262) hingga 1.5 juta rupiah (RM395) untuk sekali live streaming.

Ketika banyak pihak mempersoalkan tindakan golongan petani itu yang dikhuatiri mengancam sektor pertanian, Wakil Menteri Pertanian, Sudaryono bertindak menyokong kumpulan tersebut.

"Apa salahnya? Kalau beralih profesi, mereka tetap bertani. Mereka cuma mahu mendapatkan wang tambahan sebagai pempengaruh. Selagi tidak melanggar undang-undang, ya kita hargai," lapor media tempatan memetik kenyataannya pada akhir Oktober lalu.

Perkampungan di Pulau Jawa terutamanya Kecamatan Cikembar, Sukabumi adalah kawasan pertanian dengan lebih 1,385 hektar sawah.

Data pemerintah menunjukkan jumlah petani muda berusia 35-40 tahun dikatakan semakin berkurangan sejak sedekad lalu kerana golongan itu memilih profesi lain yang menjana pendapatan lebih tinggi. - Agensi

Info

>Fenomena tersebut dikatakan bermula sewaktu ramai penduduk cuba mencari pendapatan alternatif ketika pandemik Covid-19 pada 2020-21.

>Ia bukan hanya disertai golongan petani malah buruh, peniaga dan mereka yang berpendapatan rendah.

>Fenomena tersebut menunjukkan bagaimana teknologi dan media sosial dapat mengubah cara hidup di daerah-daerah terpencil.

>Pengeluaran beras di Kecamatan Cikembar di daerah didiami Sadbor dikatakan mengalami penurunan pada 2021 hingga 2023 setelah dilanda fenomena joget di TikTok.

>Sukabumi berada di kedudukan ke-6 sebagai kabupaten pengeluar beras terbesar di provinsi Jawa Barat dengan total 512,392 tan pada 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!