Ratusan petani berhenti kerja, pilih jadi hos penstriman di TikTok

Kebanyakan mereka sebelum ini bekerja sebagai petani. -Agensi
Kebanyakan mereka sebelum ini bekerja sebagai petani. -Agensi
A
A
A

SUKABUMI – Sebuah video tular di media sosial memaparkan ratusan penduduk sebuah kampung di Desa Cikembar, daerah Sukabumi, meninggalkan pekerjaan sebagai petani dan memilih untuk menjadi hos penstriman langsung di platform TikTok.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan sekumpulan penduduk kampung yang terdiri daripada lelaki dan wanita sedang berjoget 'wadidaw' di hadapan kamera telefon bimbit sambil melakukan siaran langsung.

Tindakan itu dilakukan dengan tujuan memperoleh sumbangan maya atau ‘saweran’ daripada penonton TikTok.

Video berkenaan pertama kali dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok @Aalay85, sebelum dikongsi semula oleh akaun Instagram @fakta.indo pada 2 April 2025, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Suasana dalam rakaman berkenaan menunjukkan kawasan kampung menjadi seolah-olah pasar malam, dipenuhi dengan bunyi riuh-rendah dan gelak ketawa, sambil warga kampung terbabit menari serta berinteraksi dengan penonton dalam talian.

Ada yang menyanyikan lagu popular sambil menari mengikut irama lagu.

Difahamkan, kegiatan tersebut kini menjadi pilihan penduduk kampung sebagai sumber pendapatan alternatif menggantikan kerja pertanian, dengan harapan dapat memperoleh pulangan segera melalui sumbangan maya TikTok.

Fenomena ini bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen.

Artikel Berkaitan:

Ada yang melahirkan rasa simpati terhadap nasib golongan petani yang semakin terdesak mencari pendapatan, manakala sebahagian lain pula menzahirkan rasa sedih dan risau apabila budaya hiburan keterlaluan mula mengambil alih pekerjaan tradisional yang mulia. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!