Israel makin bermaharajalela di Gaza

BANDAR GAZA - Rejim Zionis pada Sabtu mengumumkan rancangan jahat untuk memperluaskan lagi operasi ketenteraan di Gaza selepas ia mengepung Rafah dan menduduki koridor baharu di wilayah itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sekali lagi mengeluarkan arahan pemindahan paksa ke atas penduduk Palestin di Khan Yunis dan kawasan sekitar selatan Gaza selepas mendakwa projektil dilancarkan dari lokasi tersebut.
"Kami telah mengambil alih paksi Morag yang merentasi antara Rafah dan Khan Yunis, sekali gus menjadikan seluruh kawasan tidak bertuan antara Koridor Philadelphia yang bersempadan dengan Mesir serta Morag sebagai zon keselamatan Israel," ujar Menteri Pertahanan, Israel Katz yang berterusan mengancam pejuang Hamas.
Katz dengan angkuh menyatakan IDF turut menduduki beberapa kawasan di utara Gaza dan 'zon keselamatan' semakin diperluaskan termasuk di Koridor Netzarim yang dikawal Zionis sebelum pelaksanaan perjanjian gencatan senjata fasa pertama sebelum ini.
Provokasi terbaharu Israel itu dibuat ketika Hamas masih berpegang kepada perjanjian gencatan senjata fasa kedua.
Jurucakapnya memberitahu wakil gerakan itu dijadualkan bertemu perantara Mesir dan Qatar bagi mencapai kesepakatan untuk menamatkan perang ganas tersebut.
Sebelum ini, media Israel mendakwa Tel Aviv dan Mesir saling bertukar draf dokumen yang menggariskan tentang kemungkinan tempoh bertenang dan pembebasan baki 59 tawanan di Gaza sedangkan Hamas tidak menerima sebarang cadangan baharu seperti yang dilaporkan.
"Kami tetap dengan cadangan asal iaitu pelaksanaan gencatan senjata secara kekal dan pengunduran Israel sepenuhnya dari Gaza serta menamatkan kesengsaraan penduduk Palestin dan melakukan perjanjian pertukaran tahanan secara serius," kata jurucakap Hamas lagi.
Lebih 500 kanak-kanak terkorban
Agensi Pertahanan Awam Gaza dalam satu kenyataan mendakwa lebih 500 kanak-kanak Palestin menjadi korban kezaliman Israel sejak ia kembali melancarkan serangan ganas ke atas Genting Gaza pada 18 Mac lalu.
Jurucakapnya, Mahmoud Basal berkata, orang awam termasuk golongan budak terus menjadi sasaran kempen pengeboman Zionis hampir setiap hari.
"Seorang bayi baru lahir yang cedera parah juga meninggal dunia selepas tempat berlindung keluarganya di Deir al-Balah di tengah Gaza dibedil," ujarnya.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) turut melancarkan serangan udara ke atas 'bandar khemah' di al-Mawasi, selatan Gaza yang merupakan 'zon selamat' ciptaan Zionis.
Situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza itu dilaporkan sehari selepas jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Ravina Shamdasani mendedahkan 36 daripada 224 serangan Israel yang didokumenkan antara 18 Mac dan 9 April melibatkan kematian wanita dan kanak-kanak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!