Air bau diesel: JAS terus siasat walaupun Sains maklum tiada lagi bau

Pegawai JAS Negeri Sembilan sedang melakukan pemantauan di Sungai Linggi. Foto JAS Negeri Sembilan
Pegawai JAS Negeri Sembilan sedang melakukan pemantauan di Sungai Linggi. Foto JAS Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan akan terus melakukan siasatan dakwaan air Sungai Linggi berbau diesel walaupun Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) memaklumkan tiada lagi bau asing yang dikesan.

Pengarahnya, Hamzah Mahamad berkata, pihaknya masih mengenal pasti punca tersebut dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Saya dimaklumkan oleh pihak Sains mengenai pencemaran tersebut kira-kira jam 11 malam (Sabtu) dan telah turun ke lokasi membuat pemantauan bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan bagi mengesan minyak yang dikatakan.

"Tapi memandangkan hujan dan keadaan air sungai yang deras, kita gagal mengambil sampel air itu semalam dan proses siasatan disambung hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, Sains telah bertindak cepat apabila menghentikan operasi Loji Rawatan Air(LRA) Sungai Linggi dan pihaknya memaklumkan tiada lagi bau yang dikesan.

Jelas beliau, pencemaran sungai berkenaan bukanlah kali pertama berlaku dan disebabkan itu kerajaan negeri telah mengambil langkah menubuhkan pasukan jawatankuasa khas bagi menangani masalah terbabit.

"Disebabkan itu pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bersama BKSA dan Sains.

"Semalam (Sabtu) hujan lebat dan kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab ambil kesempatan melepaskan minyak atau mungkin juga ia berlaku secara tidak sengaja," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Sains dalam kenyataannya memaklumkan terpaksa menghentikan operasi LRA Sungai Linggi berikutan masalah sumber air mentah berbau diesel.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dalam makluman jam 12 tengah hari, Sains menyatakan tiada lagi pencemaran bau dan loji dalam proses untuk pengoperasian semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!