Paras air Sungai Klang melepasi tahap bahaya
Empat kawasan mencatatkan paras melebihi waspada iaitu di Sungai Bernam, Sungai Rasau, Stesen Tugu Keris dan Sungai Kuang.

SHAH ALAM - Paras air Sungai Klang melepasi tahap bahaya dengan trend terus menaik susulan hujan lebat sejak petang Selasa.
Berdasarkan maklumat laman sesawang rasmi Public Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 8.15 malam, Sungai Klang di Stesen Bandar Klang mencatat bacaan aras air mencecah 3.11 meter (m) berbanding tahap bahaya tiga meter.
Menurut laman sesawang itu, empat kawasan di negeri ini mencatatkan paras melebihi waspada iaitu di Sungai Bernam, Sungai Rasau, Stesen Tugu Keris dan Sungai Kuang.
Sementara itu, beberapa paras air di negeri ini masih mencatatkan paras normal setakat ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan hampir seluruh negara yang dijangka berlarutan hingga jam 9 malam ini.
Amaran yang dikeluarkan pada jam 5.45 petang itu merangkumi kawasan termasuk di seluruh Selangor.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataannya mengingatkan penduduk di kawasan pentadbirannya agar berwaspada dan bersiap siaga susulan hujan lebat berterusan yang melanda sejak petang Selasa.
MBSA menerusi hantaran di Facebook menasihatkan orang ramai supaya memantau paras air di kawasan kediaman masing-masing dan segera mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Penduduk juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) yang telah dikenal pasti," kata kenyataan itu.
Sebarang kecemasan atau keperluan bantuan segera akibat banjir boleh dilaporkan kepada Pasukan PANTAS Shah Alam di talian 03-5510 5811.
MBSA turut memberi jaminan pemantauan berterusan sedang dilakukan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi pihak berkuasa tempatan.
Pada Jumaat lalu, tiga zon melibatkan Shah Alam, Petaling dan Klang dilanda banjir kilat menyebabkan sekurang-kurangnya 137 mangsa terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!