Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk ketika bantu mangsa kemalangan

Kereta yang melanggar seorang lelaki hingga maut di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru pada awal pagi Ahad.
Kereta yang melanggar seorang lelaki hingga maut di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru pada awal pagi Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Hasrat seorang penghantar makanan membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta mewah jenis BMW di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dikatakan sedang membantu seorang penunggang motosikal yang terbabas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, nahas bermula apabila seorang lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal dari arah Johor Bahru menghala ke Taman Setia Tropika, hilang kawalan dan terbabas di lorong kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal jenis SYM BX11 yang berusia lingkungan 30-an terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang lelaki tempatan kemudian datang membantu dengan menjaga laluan bagi mengelakkan mangsa dilanggar kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Siasatan mendapati pemandu BMW memandu di bawah pengaruh alkohol.
Siasatan mendapati pemandu BMW memandu di bawah pengaruh alkohol.

Bagaimanapun, Mohd Sohaimi berkata, tindakan mulia itu bertukar tragedi apabila sebuah BMW yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun melanggar mangsa kedua sehingga menyebabkan kecederaan parah dalaman dan mengakibatkan kematian serta-merta.

“Pemandu BMW berkenaan pula hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan siasatan mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Pemandu berkenaan telah ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.

Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!