Tak sempat makan, warga emas berbasikal maut dirempuh kereta

MELAKA - Hasrat seorang warga emas untuk ke kedai makan tidak kesampaian apabila maut selepas basikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta di Jalan Penghulu Jaabar, Bukit Katil di sini tengah hari pada Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, menyebabkan mangsa, Abu Osman, 81, yang ketika itu sedang melintas jalan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa yang berbasikal dalam perjalanan dari Kampung Bukit Bayan menuju ke kedai makan di Bukit Katil.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian mangsa yang datang dari lorong sebelah kiri jalan kampung telah menyeberangi jalan untuk ke sebelah kanan.
"Bagaimanapun ketika melintas sebuah Proton Persona dipandu pesara guru lelaki berusia 77 tahun dari arah Bukit Katil menuju ke Duyong tidak sempat mengelak.
"Akibatnya kenderaan itu melanggar mangsa yang tinggal di Jalan Sidang Hassan Bukit Bayan, Bukit Katil pada jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Dalam masa sama polis juga sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan bagi kes ini," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

