X

Kindly register in order to view this article
!

'Saya sihat, alhamdulillah', kata bekas menteri

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas menteri yang dikaitkan dengan individu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) mengesahkan dirinya negatif jangkitan itu selepas melakukan ujian dan pengesanan penyakit itu.

Bekas menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu Bernama, beliau kini menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi prosedur operasi standard pengurusan Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sudah jalani ujian pengesanan, ujian negatif, tetapi menjalani kuarantin sendiri di rumah,” katanya dalam jawapan ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

“Saya sihat; alhamdulillah,” kata wakil rakyat itu.

Tular di media sosial sejak mengenai seorang bekas menteri dan timbalan menteri dipercayai kontak rapat dengan kes ke-26 positif Covid-19 dan berhubung langsung dengan orang lain termasuk petugas media, sehingga mencetuskan kekhuatiran dan kemungkinan mereka perlu melakukan saringan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: KKM siasat bekas menteri, timbalan menteri

Covid-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif: UDA Holdings

Sementara itu, timbalan menteri yang turut dikaitkan dengan perkara itu berkata, beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan kesihatan dirinya.

“Saya telah jalani pemeriksaan hari ini di Hospital Sungai Buloh. Keputusan akan diketahui esok,” katanya semasa membalas mesej WhatsApp ketika ditanya mengenai keadaan dirinya.

Kedua-dua bekas menteri dan timbalan menteri berkenaan dikatakan menghadiri satu majlis apresiasi dan penghargaan yang diadakan untuk mereka di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis lalu yang turut dihadiri seorang Ahli Lembaga UDA Holdings Berhad (UDA) yang disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, UDA memaklumkan individu terbabit kini dikuarantin di sebuah hospital kerajaan selepas pengesahan ujian pengesanan Covid-19 baru-baru ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!