Malaysia hantar 35 pegawai perubatan ATM ke Myanmar

PASIR GUDANG – Seramai 35 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dihantar ke Myanmar bagi menubuhkan hospital medan sebagai sebahagian daripada misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada hujungbMac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi itu dilaksanakan selepas kerajaan Myanmar mengemukakan permohonan rasmi dan Malaysia bersetuju menghantar pasukan serta kemudahan perubatan bagi membantu mangsa bencana.
“Hospital medan ini akan memberi tumpuan kepada rawatan ortopedik dan trauma, termasuk pembedahan kecemasan bagi mangsa yang mengalami kecederaan seperti patah tulang bagi mengurangkan risiko kecacatan kekal.
“Selain itu, pasukan perubatan ATM juga akan bekerjasama dalam usaha memperkukuh keupayaan pasukan perubatan Myanmar melalui latihan dan perkongsian kepakaran,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sebuah stesen minyak di Bandar Seri Alam di sini pada Ahad.
Menurut Mohamed Khaled, lokasi hospital medan akan ditentukan oleh kerajaan Myanmar manakala tarikh penghantaran pasukan perubatan ATM sedang dimuktamadkan.
“Pasukan kita sudah bersedia sepenuhnya dan kini hanya menunggu isyarat serta kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa Myanmar,” ujarnya.
Pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia bersetuju secara dasar untuk menghantar bantuan kemanusiaan termasuk hospital medan ke Myanmar susulan situasi kritikal di negara itu.
Katanya, sebanyak 84 hospital dilaporkan musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi sehingga menyebabkan ramai mangsa memerlukan kemudahan pembedahan bergerak dan rawatan segera.
Sementara itu, Mohamed Khaled menegaskan kerajaan telah memohon jaminan keselamatan daripada Myanmar.
“Kita harap hospital medan ATM dapat diletakkan di kawasan yang selamat dan menerima jaminan keselamatan sepenuhnya daripada pihak berkuasa Myanmar.
“Saya difahamkan Myanmar telah bersetuju mengadakan gencatan senjata, namun kita sedar terdapat risiko pelanggaran. Justeru, aspek keselamatan ini amat penting sebelum kita menghantar pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

