Blockchain hapus risiko penipuan undi dalam Pemilihan PKR 2025

KUALA LUMPUR – Risiko penipuan undi dan manipulasi keputusan yang sering membelenggu proses pemilihan parti dapat dibendung secara tuntas menerusi penggunaan teknologi blockchain.
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, pelaksanaan sistem undi berasaskan teknologi tersebut oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan langkah tepat dan reformasi digital yang memperkukuh integriti demokrasi dalaman parti.
“Teknologi ini menjamin proses yang lebih adil, bebas, bersih dan telus. Ia juga memberi kelebihan dari segi kos penyeliaan yang rendah, penggunaan tenaga petugas yang minimum serta pengurangan risiko kesilapan manusia.
"Paling penting, ia menghapuskan terus ruang kepada manipulasi undi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, melalui blockchain, setiap undi yang dikemukakan direkod secara automatik dan kekal dalam sistem tanpa boleh diubah, disunting atau dipadam oleh mana-mana pihak.
“Tiada ruang langsung untuk manipulasi kerana semua transaksi undian dapat diaudit secara terbuka, tanpa campur tangan manusia. Ia juga mendidik masyarakat untuk lebih yakin terhadap sistem pemilihan,” ujarnya.
Pemilihan PKR 2025 menyaksikan pelaksanaan sepenuhnya sistem pemilihan berasaskan blockchain, menjadikan parti itu sebagai pelopor penggunaan teknologi canggih dalam arena politik tanah air.
Langkah ini turut memperlihatkan kematangan demokrasi sebuah parti nasional yang memimpin Kerajaan Perpaduan, selain menandakan satu sejarah besar dalam proses pemilihan politik Malaysia.
Seramai 296,403 anggota layak mengundi selepas melalui proses pengesahan identiti secara secara elektronik (e-KYC), hasil usaha pemutihan dan penstrukturan semula keanggotaan parti yang digerakkan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh sejak tahun lalu.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengesahkan sebanyak 16,878 calon disahkan bertanding di 222 cabang, manakala 31 cabang tidak menyaksikan sebarang pertandingan di peringkat jawatankuasa cabang.
Proses pengundian berlangsung secara aman dan teratur, malah hanya 8,040 anggota atau 2.7 peratus memilih untuk mengundi secara fizikal, manakala selebihnya menggunakan sistem dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

