Pemilihan PKR Terengganu medan perkukuh jentera hadapi PRU16

KUALA TERENGGANU - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof berkata, barisan kepimpinan yang bakal dipilih perlu mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi dan memahami sosiopolitik Terengganu yang unik, supaya dapat memperkukuh strategi parti di peringkat negeri.
"Pemilihan kali ini bukan sekadar memilih barisan kepimpinan baharu, tetapi lebih kepada proses pengukuhan parti dan persiapan awal bagi menghadapi PRU16.
“Kepimpinan baharu perlu betul-betul memahami keunikan Terengganu, kerana inilah kunci kekuatan dalam memastikan PKR mampu mara dan meraih kejayaan dalam PRU16," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Selasa.
Katanya, setakat ini proses persediaan pemilihan berjalan lancar dengan kerjasama penuh daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Jelas beliau, persaingan dalam pemilihan PKR di Terengganu berlaku secara sihat dengan penyertaan memberangsangkan tanpa wujudnya 'kumpulan' tertentu.
"Calon yang menawarkan diri datang daripada pelbagai latar belakang sekali gus mencerminkan semangat demokrasi dalam parti.
"Ia juga memberi ruang kepada ahli untuk memilih pemimpin yang berwibawa serta mampu mengemudi PKR Terengganu ke arah kemenangan,"ujarnya.
Katanya lagi, pemilihan kali ini juga menjadi titik tolak untuk memastikan PKR terus kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat dalam landskap politik negeri.
"Barisan pimpinan yang terpilih perlu mendukung aspirasi parti dan bergerak selari dari peringkat pusat hingga ke akar umbi dalam usaha membina negara maju,"jelas beliau.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, parti itu memperkenalkan teknologi 'blockchain' dalam sistem pemilihan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketulenan data pengundi dalam talian, selain menjamin integriti pengundian.
Katanya, menerusi mekanisme sekuriti itu, pengundi atas talian perlu mengesahkan identiti mereka dengan mendapatkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar serta melalui pengesahan pengecaman wajah.
Jelas beliau, pengundi fizikal pula perlu membawa kad pengenalan mereka ke pusat mengundi dan perlu melalui pengesahan biometrik cap jari untuk pengesahan identiti sekali gus menjadikan PKR sebagai parti politik pertama di Malaysia yang menerapkan pendekatan teknologi secara menyeluruh dalam proses demokrasi dalaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
