Mustapha dilantik Pengerusi PH Sabah

KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah susulan penstrukturan semula kepimpinan gabungan itu selepas Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada PH.
Mustapha berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bersama parti-parti komponen iaitu DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Kita baru bermesyuarat bersama rakan-rakan parti komponen dan telah membuat keputusan untuk mengisi jawatan yang kosong selepas UPKO membuat keputusan untuk keluar daripada PH.
"Mesyuarat bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi, Abdul Razak Jamil sebagai Setiausaha Agung dan Zaidi Jatil sebagai Ketua Pemuda daripada PKR. Ketua Wanita, Datuk Jenny Lasimbang serta Timbalan Pengerusi kekal dalam kalangan ketua-ketua parti komponen," katanya dalam sidang akhbar PH Sabah pada Ahad.
Beliau berkata, penstrukturan semula itu turut menjadi sebahagian persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
"Kita turut membincangkan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan itu antara sebab kita rombak serta susun semula kepimpinan untuk berdepan PRU akan datang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, sesi ‘post-mortem’ telah diadakan bagi meneliti isu-isu utama yang dibangkitkan rakyat pada pilihan raya lalu.
"Kita ada mengadakan perbincangan post-mortem untuk melihat isu penting yang diharapkan rakyat Sabah, antaranya tuntutan 40 peratus.
"Kita meletakkan keyakinan kepada menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak untuk mencari penyelesaian terhadap perkara ini.
"Kita berharap kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat melihat perkara ini sebagai satu aspirasi yang menjadi keutamaan rakyat Sabah dan ia perlu diprioritikan di peringkat kerajaan," katanya.
Ringkasan AI
- Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah selepas UPKO keluar daripada PH
- Keputusan pelantikan dibuat dalam mesyuarat bersama parti komponen DAP, Amanah, dan PKR
- Abdul Razak Jamil dan Zaidi Jatil turut dilantik dalam jawatan Setiausaha Agung dan Ketua Pemuda PH Sabah
- Penstrukturan semula kepimpinan PH Sabah adalah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang
- Pembincangan post-mortem isu-isu penting termasuk tuntutan 40 peratus dari rakyat Sabah telah diadakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
