Perkukuh jaringan persahabatan NGO, agensi

SHAH ALAM - Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: Mengimbas Kembali Penyata Jakarta dapat memperkukuh kesepakatan persatuan antikorupsi seluruh Asia Tenggara supaya lebih bebas, dilindungi dan tidak dikekang kuasa politik.
Pengerusi Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Mochamad Praswad Nugraha berkata, langkah itu menguatkan lagi jaringan persahabatan antara institusi antirasuah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan agensi dan kerajaan di Asia Tenggara.
“Persidangan ini bertujuan untuk membina dan mengingat kembali kepada kesepakatan antara lembaga-lembaga antikorupsi di Asia Tenggara.
“Semakin kuat hubungan antara lembaga anti korupsi, NGO dan pihak berkaitan, semakin teguh serta mudah usaha kita dalam membanteras gejala rasuah sama ada di negara masing-masing atau merentasi sempadan,“ katanya.
Ujar Mochamad, persidangan tersebut turut menegaskan kembali prinsip-prinsip yang digariskan dalam Penyata Jakarta yang dilancarkan dalam Persidangan Persatuan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) pada 2012.
Menurutnya, asas berkenaan merupakan standard antarabangsa pembentukan reformasi untuk agensi-agensi antirasuah.
“Pertama, agensi antirasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan lain-lain harus bebas.
“Kedua, mandatnya harus jelas dan tegas dalam mencegah, menyelidik dan menguruskan kes korupsi manakala ketiga melibatkan soal kepimpinan.
“Pemilihan pemimpin dan anggota agensi antirasuah harus dilakukan secara telus, dipilih berdasarkan merit dan tidak boleh didedahkan oleh Perdana Menteri atau Presiden,” ujarnya.
Kata beliau, asas lain menekankan bahawa sesebuah agensi itu memerlukan kewangan dan tenaga kerja mencukupi dalam menangani rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

