Suara Sharnaaz Ahmad

Blood Brothers: Bara Naga dilihat sebagai sebuah lagi filem membanggakan.
Blood Brothers: Bara Naga dilihat sebagai sebuah lagi filem membanggakan.
A
A
A

SHARNAAZ Ahmad bukan sekadar pelakon serba boleh. Dia adalah suara; suara yang tidak pernah takut untuk meluah isi jiwa mengenai sesuatu perkara, hadir sebagai sosok yang berani melawan arus.

Jika ada yang tidak kena, dia tegur, jika ada yang tidak adil, dia bangkit. Bukan kerana mahu perhatian, tetapi kerana pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Datuk Basir Ahmad itu percaya – seni harus ada maruah dan anak seni harus ada suara.

Setiap kenyataan yang keluar dari mulutnya bukan kosong atau sekadar menunjuk garang. Ia datang dari hati, pengalaman dan prinsip. Walau setiap butir kata mungkin kadang kedengaran pedas, tetap ada nilainya.

"Satu perkara apabila saya bersuara, saya cakap dengan fakta bukan untuk menyakitkan hati sesiapa. Sekiranya ada yang terasa, siapa makan cili, dialah rasa pedasnya," ujarnya kepada Sinarplus.

Sharnaaz tidak melihat jawatan memainkan peranan dalam perjuangan.
Sharnaaz tidak melihat jawatan memainkan peranan dalam perjuangan.

Justeru dalam kelantangan tersebut, ada juga yang mencadangkan lelaki berusia 40 tahun itu menerajui mana-mana tampuk persatuan hiburan yang wujud, demi memastikan suara anak seni terus diperjuangkan.

Tatkala ditebak mengenai cadangan tersebut, anak kelahiran Pulau Pinang itu ketawa kecil.

"Saya rasa tidak perlu jadi Presiden, tetapi saya akan terus jadi suara anak seni.

"Bagaimanapun kalau ada persatuan yang boleh bertindak, tukar muka dan persefahaman industri tanah air, saya sedia berkhidmat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau yang sedia ada, saya rasa tidak perlulah," jawabnya ringkas.

Sharnaaz berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Blood Brothers: Bara Naga di IOI Putrajaya baru-baru ini.

Dalam masa sama, bapa kepada seorang cahaya mata itu tidak menafikan, pandangan yang dilontarkan mungkin pahit untuk ditelan, tetapi ia lahir dari kejujuran.

"Resam dalam kehidupan, jika cakap benda betul, orang akan sakit hati, tetapi jika cakap benda yang manis walau hakikatnya berbeza, orang pasti akan suka.

"Apa yang penting, selagi boleh beradab, kita beradab. Jika tidak, kita simpan sahaja. Lagipun setiap pendapat yang saya lontarkan, secara jelas dan terus terang," ujarnya lagi.

Terjejas persahabatan

Terlanjur bertemu empat mata ditayangan perdana filem terbaharunya, pasti perbualan tidak lari daripada berbicara mengenai filem terbaharu arahan Syafiq Yusof bersama Abhilash Chandra iaitu Blood Brothers: Bara Naga.

Sharnaaz menyifatkan ia seperti mimpi menjadi kenyataan kerana sejak awal lagi sudah dimaklumkan oleh Abhilash mengenai sebuah projek yang bakal mengandingkannya bersama Syafiq Kyle.

"Saya tidak perlu cari keserasian bergandingan dengan Syafiq serta Shuk (Shukri Yahaya) sebagai abang dan adik kerana di luar pun saya memang layan mereka seperti adik saya.

"Jadi untuk teruskan momentum dan keserasian itu dalam filem tidak susah. Cuma entah di mana silapnya, sebaik selesai penggambaran filem ini, saya dan Shuk tidak bertegur sapa selama setahun," dedah Sharnaaz.

Sharnaaz bersama barisan pelakon dan pengarah filem Blood Brother: Bara Naga.
Sharnaaz bersama barisan pelakon dan pengarah filem Blood Brother: Bara Naga.

Biarpun sedar persoalan yang bermain di minda rakan wartawan bagaimana hubungan akrab itu boleh berantakan, Sharnaaz berkata, dia sendiri tidak mempunyai penjelasan kukuh mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu apa yang ada dalam hati dia atau otak saya, mungkin method saya atau dia, tetapi emosi dan lakonan yang kami jayakan dalam filem ini telah menjejaskan persahabatan kami.

"Hanya beberapa minggu sebelum raya, kami berhubungan semula kerana saya rindu dia," jelasnya.

Malah Sharnaaz juga mengakui lega apabila keadaan kini sudah kembali normal dan Shukri mengotakan janjinya untuk duduk bersebelahan, bersama-sama menyaksikan filem berkenaan pada tayangan perdana.

"Apa yang anda tonton untuk babak pertarungan itu mungkin nampak sekejap tetapi peritnya kami sahaja yang tahu. Ketika penggambaran saya cakap dengan dia, penat untuk hasilkan filem ini, tetapi nanti bila ditayangkan, orang akan tonton dengan penghawa dingin dan kerusi empuk.

"Kemudian dia jawab, nanti dia akan duduk di sebelah saya, sama seperti ketika itu dia berada di sebelah saya. Shuk telah kotakan apa yang dia kata sebelum ini," katanya lagi.

Selain Sharnaaz, Shukri dan Syafiq, filem yang sudah memulakan tayangan pada 10 April lalu turut dibintangi Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Wan Hanafi Su dan Zamarul Hisham.

Filem ini mengisahkan Ariff merupakan seorang pengawal peribadi yang setia tetapi dituduh mengkhianati Datuk Zul, individu yang pernah membelanya. Demi membersihkan namanya, Ariff terpaksa meminta pertolongan abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki.

Namun, perjalanan Ariff bukan mudah. Dia kini diburu oleh sahabat baiknya sendiri, Ghaz, ketua pasukan pengawal peribadi elit yang suatu ketika dahulu dianggapnya sebagai Blood Brothers.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!