Apa keperluan ahli politik dipantau menerusi TCO?

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan MB Terengganu dilabel TCO, pergerakan dipantau rapi.
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan MB Terengganu dilabel TCO, pergerakan dipantau rapi.
A
A
A

PENDEDAHAN Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, baru-baru ini bahawa beliau tersenarai dalam sistem pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) menimbulkan persoalan besar sama ada sistem keselamatan negara kini disalahgunakan untuk tujuan politik.

Ini kerana secara prinsipnya, TCO diwujudkan bagi memantau individu berisiko tinggi seperti penjenayah berat, pengganas dan penculik.

Namun, apabila seorang pemimpin negeri seperti Ahmad Samsuri yang tiada rekod jenayah tersenarai, maka ia mengundang pertikaian adakah sistem ini masih beroperasi secara profesional?

Jadi tidak hairanlah jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pantas menjelaskan bahawa semua individu kenamaan termasuk dirinya turut dipantau TCO bagi tujuan keselamatan.

Kenyataan itu disusuli penegasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bahawa tiada keperluan untuk memantau pergerakan Ahmad Samsuri secara khusus kerana beliau bukan penjenayah atau suspek dikehendaki.

Namun, penjelasan rasmi tersebut belum mampu meredakan kegusaran rakyat, lebih-lebih lagi apabila dunia pernah dikejutkan dengan kewujudan perisian intipan berkelas tentera dikenali sebagai Pegasus.

Aplikasi pengintipan ciptaan NSO Group dari negara haram Israel berkenaan membolehkan pencerobohan telefon pintar lebih 50,000 individu berprofil tinggi, termasuk ketua negara, wartawan, aktivis dan peguam.

Perisian itu beroperasi tanpa dikesan dan tanpa memerlukan sebarang tindakan daripada pengguna (zero-click) juga membolehkan akses penuh kepada kamera, mikrofon serta mesej sulit.

Antara pemimpin negara yang pernah menjadi mangsa pencerobohan Pegasus termasuklah Presiden Perancis Emmanuel Macron, bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Raja Mohammed VI dari Maghribi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, kita tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, sekali gus menyukarkan Kerajaan Madani mendapat akses kepada teknologi seperti Pegasus.

Tambahan pula, tiada undang-undang di negara ini yang membenarkan pencerobohan komunikasi tanpa perintah mahkamah, kecuali dalam kes melibatkan jenayah berat.

Kos operasi aplikasi perisikan seperti Pegasus juga amat tinggi, boleh mencecah ratusan juta ringgit setahun dan hanya mampu menjejak kurang 100 individu pada satu-satu masa.

Jadi hampir mustahil untuk kerajaan semasa sanggup berbelanja sebegitu semata-mata untuk menjejak seorang pemimpin pembangkang yang tidak memegang jawatan strategik peringkat nasional.

Namun persoalan asasnya bukan lagi mengenai teknologi, tetapi kredibiliti sistem pemantauan itu sendiri.

Apakah TCO benar-benar bebas daripada pengaruh politik? Siapa yang menentukan senarai pemantauan? Di mana garis sempadan antara keperluan keselamatan dan tindakan intimidasi?

Kita tidak boleh menolak realiti bahawa teknologi keselamatan, jika tidak diawasi dengan telus dan saksama, boleh berubah menjadi alat penindasan. Apa yang berlaku di peringkat antarabangsa wajar dijadikan iktibar.

Oleh itu, Kerajaan Madani perlu tampil memperjelaskan garis panduan TCO secara terbuka kerana keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan bergantung kepada sejauh mana hak privasi mereka dilindungi, bukan dikompromi atas nama keselamatan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!