Impian lebih ramai bilionair Melayu

BARU-BARU ini seramai 19 rakyat Malaysia direkodkan dalam Senarai Jutawan Forbes 2025 dengan jumlah kekayaan terkumpul sebanyak AS$57.3 bilion atau RM256.23 bilion.
Robert Kuok yang berusia 101 tahun kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, dengan nilai kekayaan bersihnya meningkat kepada AS$12.1 bilion (RM55.8 bilion)
Individu kedua terkaya ialah Tan Sri Quek Leng Chan daripada Kumpulan Hong Leong dengan kekayaan bersih AS$9.9 bilion (RM44.5 bilion).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal Aluminium Holdings Bhd, Tan Sri Paul Koon berada di tempat ke-868 di dunia dengan kekayaan AS$4.2 bilion (RM18.8 bilion).
Antara tokoh lain dalam senarai tersebut termasuklah dua beradik, Datuk Lee Yeow Chor, 58, dan Lee Yeow Seng, 47, daripada konglomerat perladangan dan hartanah IOI Group dengan nilai bersih masing-masing sebanyak AS$3.1 bilion (RM13.7 bilion) dan AS$2.3 bilion (RM10.6 bilion).
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, Lee Thiam Wah, 61, menduduki tempat keempat terkaya di Malaysia dengan kekayaan bersih AS$3.7 bilion (RM17.6 bilion). Beliau menjadi ahli baharu dalam 'kelab bilionair' Malaysia.
Anak-anak pengasas Public Bank Bhd yang meninggal dunia, Tan Sri Teh Hong Piow iaitu Diona Teh Li Shian, Lillian Teh Li Ming, Lillyn Teh Li Hua dan William Teh Lee Pang turut berada dalam kalangan individu terkaya di Malaysia, masing-masing dengan kekayaan bersih AS$1.6 bilion.
Turut berada dalam senarai ialah Tan Sri Jeffrey Cheah dari Sunway Group, memiliki nilai bersih sebanyak AS$3.5 bilion (RM15.6 bilion) yang menjadi individu kelima terkaya di Malaysia.
Manakala Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dan Tan Yu Yeh dari MR DIY dengan kekayaan AS$1.3 bilion (RM5.8 bilion).
Cuma seorang bilionair Melayu
Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, hartawan berprofil rendah namun berpengaruh besar, kekal dalam kelompok 10 individu terkaya Malaysia dengan nilai kekayaan AS$2.2 bilion (RM4.9 bilion).
Beliau terkenal sebagai tokoh korporat Melayu yang memiliki rangkaian perniagaan dari pelabuhan, logistik, automotif, pembinaan hingga kepada pendidikan melalui Yayasan Albukhary.
Sejak bertahun-tahun, boleh dikatakan senarai tersebut tidak banyak berubah dan terus kekal didominasi oleh individu-individu yang memiliki kekayaan luar biasa melalui pelbagai sektor.
Saya pernah terdengar salah seorang kenalan yang memberitahu, untuk membuat satu juta pertama dalam perniagaan memang susah, namun jika berjaya melepas angka itu, membuat keuntungan seterusnya adalah sesuatu yang mudah.
Jika kita fikir sejenak memang ada benarnya kata-kata itu kerana mereka yang berjaya mencapai pendapatan melebihi sejuta ringgit akan mempunyai keupayaan besar melakukan pelaburan dengan pulangan tinggi dan mempelbagaikan portfolio perniagaan atau memiliki aset-aset bernilai tinggi.
Usahawan TikTok
Berbalik kepada senarai dikeluarkan Forbes itu, sudah tentu ada yang melihat jurang yang amat ketara antara kaum Cina dan Melayu.
Ia berlaku atas banyak faktor dan sejak dahulu lagi tumpuan terus diberikan kepada usaha untuk membantu orang Melayu dan merapatkan jurang yang lebar itu dalam ekonomi.
Walaupun proses tersebut mengambil masa lama, namun ketika ini kita dapat lihat penglibatan orang Melayu terutama kalangan generasi muda dalam bidang perniagaan semakin meningkat.
Tidak mengapa jika mereka sekadar berniaga dalam aplikasi TikTok tetapi inilah permulaan penting untuk mereka membina asas dalam dunia keusahawanan.
Jadi, kita harap dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, dapatlah kita melihat senarai 20 individu paling kaya di Malaysia akan ada lebih ramai lagi orang Melayu.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
