China sindir Trump guna video AI, papar pekerja AS lesu 'kena menjahit di kilang'

Pekerja AS digambarkan tidak produktif dan lesu.-Agensi
Pekerja AS digambarkan tidak produktif dan lesu.-Agensi
A
A
A

BEIJING - Sebuah video yang dihasilkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) tular di media sosial China dan Amerika Syarikat (AS) selepas memaparkan sindiran terhadap dasar tarif Presiden Donald Trump.

Video berdurasi 32 saat itu menunjukkan pekerja-pekerja tekstil di AS yang kelihatan muram, keletihan dan bekerja dalam suasana suram di kilang pakaian.

Mereka kelihatan bertubuh besar, menjahit pakaian dengan penuh tekanan, seolah-olah menggambarkan kesan langsung daripada perang tarif yang dikenakan Trump ke atas China.

Ketika video berakhir, muzik tradisional China dimainkan sebelum slogan ikonik Trump, 'Make America Great Again' muncul di skrin, satu sindiran tajam terhadap janji presiden itu yang dilihat semakin dipersoalkan masyarakat antarabangsa.

Mereka kelihatan bertubuh besar, menjahit pakaian dengan penuh tekanan.-Agensi
Mereka kelihatan bertubuh besar, menjahit pakaian dengan penuh tekanan.-Agensi

Video tersebut dimuat naik di akaun TikTok China dan kini telah ditonton berjuta kali, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat tentang keberkesanan langkah tarif yang dilaksanakan oleh Trump berkenaan.

Tindakan Trump baru-baru ini mengenakan tarif import sebanyak 125 peratus ke atas barangan dari China dibalas dengan langkah serupa oleh Beijing yang menaikkan tarif balas kepada 84 peratus.

Kementerian Luar China menyifatkan tindakan Washington sebagai bentuk buli ekonomi unilateral yang tipikal.

Sementara itu, Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, mempertahankan langkah Trump dengan menyatakan bahawa trilion dolar pelaburan akan mengalir ke AS dalam bentuk kilang baharu.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau turut mengakui bahawa kebanyakan pekerjaan itu akan dipenuhi oleh robot dalam kilang automatik dan bukan pekerja bergaji kesatuan.

“Syarikat AS akan membina dan mengendalikan kilang ini,” katanya dalam satu temu bual, sambil mengakui tempoh pembinaan kilang mengambil masa bertahun-tahun dan tidak akan membantu menurunkan kos pengguna dalam masa terdekat.

Video berkenaan, walaupun tidak diketahui penciptanya, telah berjaya mencetuskan gelombang reaksi di kedua-dua negara, menonjolkan bagaimana media sosial kini menjadi medan utama untuk perang psikologi dan propaganda antara kuasa besar dunia. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!