Keldai dadah diupah RM10,000 'terbangkan' syabu ke Sarawak

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki yang diupah RM8,000 hingga RM10,000 untuk 'menerbangkan' syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sarawak diberkas polis.
Ketiga-tiga suspek itu dicekup sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Kuala Lumpur menerusi serbuan di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama di sini pada 5 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu berjaya merampas 104 kilogram (kg) syabas bernilai RM3.33 juta.

"Serbuan pertama di sebuah bilik hotel, dua lelaki berusia 38 dan 44 tahun ditahan dengan rampasan 70 bungkusan plastik berisi syabu seberat kira-kira 72.8 kg.
"Masa sama, serbuan dibuat di sebuah bilik berasingan hotel terbabit dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dengan rampasan 30 bungkusan plastik berisi syabu seberat 31.2 kg dalam sebuah bagasi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah itu disyaki cuba menyeludup dadah tersebut melalui laluan udara dari KLIA ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri.
Katanya, sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu.
"Ketiga-tiga suspek ini dibayar antara RM8,000 hingga RM10,000 seorang untuk memainkan peranan sebagai keldai dadah.
"Pada masa ini kita sedang menyiasat dan mengumpul maklumat bagi menjejaki dalang utama dan saki-baki sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah ini," ujarnya.

Tambah Rusdi, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah morfin selain memiliki rekod jenayah serta dadah.
Tegasnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 April untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"JSJN akan terus berusaha memerangi penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah dan berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan melalui talian Hotline JSJN iaitu 012-2087222," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
