Tiga lelaki diberkas cuba curi kabel signal tren ERL

SEPANG - Tiga lelaki tempatan diberkas dipercayai terlibat dalam cubaan memotong 'signal link' berhampiran laluan Express Rail Link (ERL) menghala ke Stesen KL Sentral yang menyebabkan gangguan kepada sistem isyarat tren, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tiga suspek yang ditahan berumur antara 25 tahun hingga 50 tahun.
"Tiga suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang antara jam 5 pagi hingga 8 pagi pada Sabtu.
"Antara barangan serta peralatan yang dirampas adalah empat telefon bimbit, dua baju, dua seluar, dua selipar, dua buah motosikal serta topi keledar," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Pihak polis sedang berusaha mengesan rakan sejenayah yang masih bebas.
"Dengan tertangkapnya suspek ini, pihak polis dapat menyelesaikan tiga kes kecurian kabel ERL di dalam daerah Sepang," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379/447 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan cubaan memotong 'signal link' berhampiran laluan Express Rail Link (ERL) menghala ke Stesen KL Sentral menyebabkan gangguan kepada sistem isyarat tren pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada petugas Pusat Kawalan Udara ERL Salak Tinggi kira-kira jam 9.33 pagi.
Menurut beliau, hasil semakan di lokasi mendapati terdapat kabel signal link yang telah dipotong, bagaimanapun tiada kehilangan kabel dilaporkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

