Kes peniaga belon: Polis tunggu arahan Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu keputusan daripada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut berhubung kes seorang peniaga belon yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 28 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Menurut beliau, siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 186, Seksyen 325, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, terdapat dua tangkapan dilakukan.
“Bagaimanapun, kes ini masih belum mempunyai keputusan. Seorang suspek tidak direman kerana menghidap masalah jantung yang serius, manakala seorang lagi suspek direman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tambah beliau, telefon bimbit suspek kedua turut dirampas dan dihantar ke makmal untuk dianalisis sebagai sebahagian daripada siasatan.
Datuk Rusdi berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan penuh bagi menentukan tindakan selanjutnya.
“Laporan penuh perubatan masih belum diperoleh. Namun, jika ada keterangan daripada doktor bagi laporan awal, itu sudah memadai untuk membuat pertimbangan.
“Laporan perubatan mengambil masa tertentu untuk disiapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya.
Pada 7 April lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis masih menunggu laporan perubatan penuh dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, berhubung kecederaan yang dialami oleh peniaga belon terbabit.
Bagaimanapun, polis telah menerima laporan awal yang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan keretakan.
Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook yang memaparkan tangkap layar perbualan dalam kumpulan WhatsApp mengandungi unsur ugutan dan hasutan terhadap anggota penguat kuasa DBKL.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
