X

Kindly register in order to view this article
!

'Memang pernah terguris hati dengan Tok Pa tapi...'

Mustapa - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Biarpun pernah kecewa dan terguris hati dengan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang pernah meninggalkan UMNO Kelantan sebelum ini, tetapi pihaknya tetap terbuka untuk menerima bekas ketua parti itu dalam satu pasukan demi rakyat.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jika mahu mengambil kira soal krisis politik dan apa yang dirasai sudah tentulah melebihi daripada perasaan, tetapi pengorbanan perlu dilakukan.

Menurutnya, menjadi satu pasukan menerusi Perikatan Nasional adalah keputusan yang dibuat oleh parti dan bersandarkan kepatuhan serta kesetiaan secara jelasnya UMNO Kelantan menerima Mustapa dengan hati terbuka.

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan

"Kita perlu berjiwa besar dalam keadaan ini, saya suka mengambil contoh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan hati yang penuh terbuka boleh menyokong kerajaan yang ada hari ini.

"Sebelum ini mungkin hati ahli UMNO di Kelantan terguris dengan apa yang dilalukan oleh Datuk Pa (Mustapa), tetapi apabila 'biduk berlalu kiambang bertaut, carik-carik bulu ayam' (lama-lama bercantum juga). Yang perlu kita lihat ialah kepentingan rakyat.

"Kita menerima beliau dalam satu pasukan dan dalam satu kumpulan yang sama, berada di dalam bahtera dan kapal yang sama dan Datuk Sri Mustapa adalah sebahagian daripada kita di Kelantan ini," katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan Mesyuarat Tertutup Empat Peringkat di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan juga mahu supaya sengketa yang lepas biarlah ia berlalu dan usah lagi dikenang kerana sebagai satu pasukan, semua perlu memfokuskan untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Sebagai sebuah kerajaan baharu, kita mesti meyakinkan rakyat dan menunjukkan kepada rakyat kita adalah sebuah kerajaan yang jauh lebih berwibawa berbanding dengan kerajaan lepas," katanya.

Untuk rekod, Mustapa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 27 Oktober 2018 selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Petaling Jaya selepas 40 tahun berkhidmat untuk UMNO.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus