Calon BN terima 'tonik' teruskan kempen PRK Ayer Kuning

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menerima suntikan semangat apabila mendapat reaksi positif pengundi di kawasan dikunjunginya.
Antara pengundi yang beliau temui adalah di kawasan Changkat Petai, Tanjong Keramat, Kampung Raya dan Kampung Batu Tiga.
"Alhamdulillah, saya sangat teruja kerana di semua tempat yang saya kunjungi mendapat sambutan yang saya kira satu rangsangan baik kepada kita di pihak BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Tani Tapah di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohamad Yusri berkata, beliau akan melihat keperluan dalam membantu peniaga meningkatkan pendapatan di DUN berkenaan.
"Kita perlu menyediakan prasarana dan sebagainya serta sentiasa berusaha (membantu peniaga). Kerajaan sentiasa berusaha memastikan peniaga ini berada dalam keadaan yang baik," katanya.
Mengenai cadangan supaya DUN Ayer Kuning dimajukan dalam sektor pertanian khususnya sebagai hab sayur-sayuran menerusi konsep rumah hijau, Mohamad Yusri berkata, ia satu cadangan yang baik dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk di daerah Batang Padang, khususnya DUN Ayer Kuning.
Dalam pada itu, calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek turut menyatakan beliau menerima sokongan yang baik terutama daripada golongan muda sepanjang dua hari berkempen.
Beliau berkata, tumpuan utamanya dalam kempen itu adalah untuk menyantuni isu keperluan rakyat, terutama peluang pekerjaan bagi golongan belia.
Sementara itu, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS, yang ditemui Bernama ketika berkempen di Kampung Coldstream, Bidor berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada penduduk berhubung kekurangan peluang pekerjaan terutama dalam sektor pertanian, selain harga rumah yang terlalu tinggi dan tidak mampu dimiliki golongan muda.
Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar melaksanakan reformasi undang-undang tanah termasuk pemberian pajakan jangka panjang kepada petani dan penternak yang telah lama mengusahakan tanah.
Jurucakap polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning, Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, pihaknya mengeluarkan dua permit ceramah kepada parti bertanding, setakat semalam.
Selain itu, beliau berkata, polis tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya setakat ini.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung. Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, Abd Muhaimin dan Bawani KS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
