Malaysia teruskan komitmen laksana pendekatan bersama ASEAN-China - TPM

KUALA LUMPUR – Pemeteraian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China Versi 3.0 yang bakal berlangsung menandakan satu detik penting dalam hubungan ASEAN-China pada tahun ini.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia akan meneruskan komitmennya ke arah perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh.
"Detik penting ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan langkah strategik ke hadapan yang turut memperkukuh kerjasama di bawah inisiatif 'Belt and Road' bagi memastikan pertumbuhan mampan dan inklusif untuk rakyat kita.
"Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia kekal komited untuk meneruskan pendekatan kerjasama yang mempromosikan kestabilan, pasaran yang adil dan terbuka, serta nilai-nilai bersama," katanya ketika berucap merasmikan Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 di sini, pada Jumaat.

Forum yang dianjurkan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua itu turut disertai Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Ramli.
Bertemakan Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China, forum berkenaan menyediakan platform unik bagi perbincangan mendalam mengenai pelbagai isu penting kepada ASEAN dan masyarakat dunia.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berpandangan forum itu mencerminkan komitmen bersama dalam menggalakkan kerjasama lebih mendalam, memperkukuh perpaduan serantau, selain membentuk masa depan yang makmur bersama.
Beliau dalam pada itu turut menekankan peranan penting media dan badan pemikir dalam membantu membentuk dasar, merapatkan pandangan serta mempromosikan keharmonian serantau.
"Dalam era ketidaktentuan ekonomi dan perubahan geopolitik, usaha media menjadi jambatan kepada pemahaman yang lebih mendalam serta kerjasama yang bermakna," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
