Warga emas hidap strok terperangkap banjir diselamatkan bomba

SHAH ALAM - Seorang wanita warga emas yang menghidapi strok dan terperangkap dalam rumah ketika banjir kilat di Taman Iswara Sri Muda, Seksyen 25 di sini diselamatkan bomba pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam telah dikejarkan ke rumah terbabit selepas menerima panggilan pada jam 8.50 pagi.
"Wanita berusia 75 tahun yang menghidapi strok dan lumpuh itu terperangkap dan memerlukan bantuan pemindahan.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan banjir dan ditempatkan di kawasan selamat," katanya.
Sebelum itu, hujan lebat berterusan sejak malam pada Khamis menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Selangor dilanda banjir kilat.
Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sekurang-kurangnya 137 mangsa terjejas banjir dengan kedalaman 0.6 meter setakat jam 8 pagi Jumaat, di tiga zon utama melibatkan daerah Shah Alam, Petaling dan Klang.
"Zon Shah Alam membabitkan Kampung Padang Jawa melibatkan sekurang-kurangnya 20 rumah terjejas. Zon Petaling pula membabitkan Kampung Tengah serta Kampung Seri Aman yang mana 50 rumah terjejas.
"Taman Seri Jaya membabitkan Zon Klang pula melibatkan 10 rumah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
