'Belum sempat pulih dari kebakaran, mangsa diuji banjir kilat pula'

Norsalawati bersama ahli keluarga membersihkan rumah baharu yang disewa ekoran kejadian banjir kilat di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat. - Foto: Ihsan keluarga mangsa
Norsalawati bersama ahli keluarga membersihkan rumah baharu yang disewa ekoran kejadian banjir kilat di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat. - Foto: Ihsan keluarga mangsa
A
A
A

SUBANG JAYA – Mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Norsalawati Zakaria, sekali lagi diuji apabila kediaman baharu yang baru disewa di Kampung Kuala Sungai Baru dilanda banjir kilat awal pagi Jumaat.

Menurut Norsalawati, 42, walaupun mereka belum berpindah sepenuhnya ke rumah tersebut, beberapa barangan harian termasuk pakaian telah pun dipindahkan lebih awal.

“Anak sulung saya berusia 19 tahun berada di rumah baharu malam tadi, manakala saya dan keluarga lain masih menetap di pusat penempatan sementara (PPS) di Putra Heights.

“Sekitar jam 5.30 pagi, anak saya terjaga apabila terasa air mula memasuki rumah. Dia sempat selamatkan motosikal dan beberapa barang lain,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, paras air naik sehingga ke lutut sebelum mulai surut sekitar jam 8.30 pagi. Mereka sekeluarga sempat ke rumah baharu pada jam 6.30 pagi untuk menyelamatkan kereta yang diparkir berhampiran.

Apa yang menyedihkan, semua pakaian yang telah dipindahkan ke rumah baharu telah rosak akibat banjir, namun mereka bersyukur kerana barangan elektrik belum dimasukkan.

“Kami baru hendak bangkit selepas diuji dengan kebakaran besar di Putra Heights yang memusnahkan rumah sewa kami sejak 16 tahun lalu. Kini rumah baharu pula dilanda banjir,” ujarnya sayu.

Tambahnya, insiden ini benar-benar memberi tamparan hebat buat dirinya dan keluarga yang kini seolah-olah kembali tinggal sehelai sepinggang.

Artikel Berkaitan:

“Kami sambut Aidilfitri di kampung di Sungkai kerana rumah sudah musnah. Kini pakaian sumbangan pun dah tenggelam. Sangat sedih dan letih dengan semua yang berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!