Tiada latihan intensi tinggi punca Kelantan dibelasah JDT - Rezal Zambery

KDN FC
KDN FC
A
A
A

PENOLONG Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya mengakui kekalahan besar 0-9 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) berpunca daripada ketiadaan sesi latihan berintensi tinggi yang berlarutan hampir tiga bulan.

Menurutnya, skuad KDN FC hanya sempat mengadakan satu sesi latihan bersama sehari sebelum perlawanan menentang juara bertahan Liga Super itu.

REZAL ZAMBERY
REZAL ZAMBERY

"Kita semua sedia maklum, sudah hampir tiga bulan tiada sesi latihan bersama. Kita hanya bertemu sehari sebelum perlawanan.

"Saya tetap bersyukur kerana pemain masih menunjukkan komitmen dan sanggup turun berjuang walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya ketika sidang akhbar pada Khamis malam.

Mengulas kekalahan memalukan di Stadium Sultan Ibrahim, beliau mengakui pasukannya langsung tidak membuat sebarang persiapan rapi sebelum turun menentang JDT yang sememangnya berada pada kelas tersendiri.

"Sebagai pengendali, saya amat kecewa dengan kekalahan ini tetapi kita perlu terima hakikat. Dengan ketiadaan latihan dan persediaan, inilah akibatnya.

"Tahap kecergasan pemain berada pada tahap yang sangat rendah, malah ada yang dianggarkan tidak mencapai 50 peratus kecergasan fizikal sebenar.

"Latihan sendiri seperti berjoging tidak mampu menandingi intensiti latihan bola sepak sebenar. Tanpa kecergasan dan keserasian pasukan, sukar untuk bersaing di pentas Liga Super,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam beberapa perlawanan terdahulu, pasukan lebih memberi tumpuan kepada aspek bertahan berbanding menyerang, berikutan kekangan dari segi taktikal dan fizikal.

Menurutnya, Kelantan dijadualkan bertemu Negeri Sembilan FC pada 13 April dan Kuala Lumpur City FC pada 20 April ini.

"Fokus kami sekarang adalah untuk menghabiskan baki dua perlawanan musim ini. Saya mengharapkan masih ada pemain yang akan terus turun beraksi demi maruah pasukan.

"Kemelut yang melanda pasukan turut berpunca daripada kelemahan pentadbiran yang gagal menyelesaikan isu dalaman sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan.

"Saya sendiri tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau masalah pengurusan dapat diselesaikan lebih awal, perkara sebegini tidak akan berlaku.

"Bagaimanapun, sebagai jurulatih dan pemain, kita tetap ada kontrak dan perlu habiskan saingan musim ini dengan penuh profesional,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemain yang tetap turun beraksi biarpun dalam keadaan tidak cukup cergas dan menggesa agar menjadikan baki perlawanan sebagai peluang membina nilai pasaran masing-masing.

"Saya harap pemain gunakan peluang ini untuk tampilkan kebolehan. Mungkin ada pasukan lain yang nampak potensi mereka dan memberi peluang musim depan.

"Fikirkan masa depan. Jangan cepat putus asa. Musim ini mungkin sukar, tetapi masih ada ruang untuk membina semula karier masing-masing," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!