Bekas jurulatih bela kerbau dalam rumah sewa

GUANGDONG - Seorang bekas atlet sukan mencetuskan sensasi dalam media sosial di China apabila dilaporkan memelihara seekor anak kerbau di rumah sewanya, yang pada awalnya tanpa pengetahuan tuan rumah.
Lelaki bujang berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Chen berasal dari Foshan, wilayah Guangdong, selatan China.
Beliau kini bekerja sambilan sebagai jurulatih memanah dan ekuestrian di sebuah gimnasium selepas bersara daripada dunia sukan.
Walaupun tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya memperoleh pendapatan sekitar 6,000 yuan (RM3,900) sebulan, Chen sanggup membelanjakan lebih separuh pendapatannya untuk memberi makan kepada anak kerbau dan seekor anjing peliharaannya yang dinamakan ‘Little Bear’.
Chen membeli anak kerbau berwarna hitam itu pada Januari lalu dan menamakannya 'Bull Demon King'.
Katanya, haiwan itu dibelinya bagi menemani anjingnya, selain menjadi sumber motivasi dalam kehidupan.
“Saya sayang kerbau air, mereka lembut dan comel,” katanya kepada portal Xiaoxiang Morning Post.
Chen sebelum ini pernah dihalau keluar dari rumah sewa lamanya selepas tuan rumah mengetahui dia membela seekor kerbau. Dia kemudian berpindah ke unit baharu dengan kadar sewa hanya 400 yuan (RM260) sebulan.
Tuan rumah baharu pada awalnya juga tidak mengetahui kehadiran penghuni unik itu, namun bersetuju selepas video kehidupan Chen bersama kerbaunya tular di media sosial.
Menurut Chen, anak kerbau peliharannya sangat tenang dan tidak mengganggu jiran.
Setiap hari, Chen akan memberi makan kepada kerbaunya menggunakan mangkuk dan mereka makan bersama-sama.
Namun, membela kerbau di bandar bukan tugas mudah. Ketiadaan padang rumput dan ruang terbuka menjadi cabaran utama.
Chen terpaksa memandikan kerbaunya dalam bilik air dan membersihkannya setiap hari dengan sabun pembasmi kuman.
Pada hari panas, dia membawa kerbaunya berjalan-jalan. Bila cuaca sejuk, anak kerbau itu dibalut dengan jaket tebal buatan tangan sendiri.
Bagi Chen, anak kerbau ini bukan sekadar haiwan peliharaan, malah simbol disiplin diri. - Agensi
Baru-baru ini, Chen pulang ke kampung halamannya sempena sambutan Ching Ming pada 2 April bersama kerbau dan anjingnya. Beliau kini sedang membina sebuah rumah kayu di kawasan desa dan bercadang menetap di sana bersama dua sahabat setianya.
Kisah unik Chen meraih lebih 8 juta tontonan di media sosial tanah besar China. Seorang netizen menulis, “Saya lebih rela lihat kerbau dijadikan haiwan peliharaan daripada dipaksa bekerja seumur hidup sebelum disembelih. Semua makhluk ada jiwa.”
“Bila kerbau tu dah besar nanti, boleh ke dia muat keluar pintu rumah?” kata seorang lagi berseloroh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
