Hamzah doakan Yusoff Rawther selamat daripada segala penganiayaan

Hamzah (tiga dari kanan) bertemu dengan ahli keluarga Yusoff Rawther, baru-baru ini. Foto ihsan FB Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Hamzah (tiga dari kanan) bertemu dengan ahli keluarga Yusoff Rawther, baru-baru ini. Foto ihsan FB Datuk Seri Hamzah Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mendoakan agar bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther, terselamat daripada segala penganiayaan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut meluahkan keyakinan beliau bahawa Muhammed Yusoff merupakan anak muda teraniaya setelah mendengar penjelasan daripada ahli keluarga terdekat individu terbabit.

"Pada Selasa lalu, saya menerima kunjungan keluarga Muhammed Yusoff terdiri dua adik lelakinya yang hadir bersama dua emak saudara mereka.

"Banyak cerita yang saya dengar daripada mereka ini tentang siapakah Muhammed Yusoff sebenarnya? Rupa-rupanya Yusoff seorang anak muda yang berprinsip.

"Dia akan tentang apa sahaja yang dia fikir sebagai perbuatan yang salah," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya pada Khamis.

Yusoff Rawther didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang ditemui di dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September tahun lepas.
Yusoff Rawther didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang ditemui di dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September tahun lepas.

Untuk rekod, Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang ditemui di dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September tahun lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Muhammed Yusoff juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hamzah juga melahirkan rasa syukur Muhammed Yusoff mewarisi semangat datuknya, Allahyarham SM Mohamed Idris iaitu seorang aktivis pengguna terkenal tanah air.

"Alhamdulillah, semangat yang dibawa datuknya, Allahyarham SM Mohamed Idris, - iaitu seorang aktivis pengguna terkenal tanah air, - ada serta kekal bersama Muhammed Yusoff, hinggakan saya dengar dia sejak kecil lagi akan ke depan melindungi rakan-rakannya yang dibuli.

"Melihat kepada sifatnya dan apabila dikaitkan dengan (kes) apa yang berlaku sekarang, betullah Muhammed Yusoff seorang pemuda berani," katanya.

Hamzah berkata, Muhammed Yusoff juga berani mengemukakan afidavit bersumpah dan menjalankan ujian poligraf bagi membuktikan ketulenan dakwaannya.

Ujarnya, Muhammed Yusoff juga berani mengambil tindakan saman sivil terhadap individu paling berkuasa di negara ini.

"Dia juga berani menyaman individu yang memfitnahnya dan menang kes tersebut pada 19 Oktober 2022 serta dia juga tidak gentar mengheret individu berpengaruh yang mencekik, menumbuk dan memukulnya pada 16 Mei 2019 ke mahkamah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!