Polis nafi maklumat spesifik diterima untuk perangkap Yusoff Rawther

Yusoff Rawther hadir di mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki pistol tiruan. Foto Bernama
Yusoff Rawther hadir di mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki pistol tiruan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis menafikan dakwaan bahawa maklumat terlalu spesifik diterima semata-mata untuk memerangkap bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dalam kes dadah dan pemilikan pistol tiruan.

Sarjan Chong Choon Khen, 46, yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Beliau merupakan saksi pendakwaan ketujuh (SP7) dalam perbicaraan membabitkan Muhammed Yusoff, 32, yang berdepan pertuduhan mengedar ganja dan memiliki pistol tiruan, di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Ketika disoal balas peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh mencadangkan, anak guamnya menjadi sasaran selepas polis menerima maklumat yang sangat terperinci daripada sumber tidak dikenali.

Peguam itu berkata, kereta milik tertuduh telah disasarkan sejak awal kerana maklumat berkenaan lengkap dengan jenis kenderaan, nombor pendaftaran dan kewujudan pistol.

Peguam: Pada 6 September 2024, sarjan telah ditaklimatkan oleh ketua serbuan, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, setuju?

Choon Khen: Setuju.

Peguam: Taklimat itu lengkap dengan maklumat yang spesifik?

Choon Khen: Tidak setuju.

Artikel Berkaitan:

Peguam: Sarjan terima maklumat mengenai kereta jenis Nissan Teana, berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran, setuju?

Choon Khen: Setuju.

Peguam: Lokasi kenderaan di tepi jalan sebuah kondominium?

Choon Khen: Tidak setuju.

Peguam: Dalam kereta itu ada pistol?

Choon Khen: Setuju.

Peguam: Jadi, kereta tertuduh telah disasarkan kerana maklumat lengkap telah diberikan?

Choon Khen: Saya tidak setuju.

Peguam: Pihak pemberi maklumat tahu kereta itu digunakan sebagai perangkap untuk menggari tertuduh ke IPK Kuala Lumpur?

Choon Khen: Saya tidak setuju.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan, SP7 itu berkata, maklumat berkaitan Ops Laras adalah bersifat umum.

“Tiada kategori maklumat spesifik atau sebaliknya, kecuali selepas serbuan dilakukan.

“Maklumat itu sekadar informasi biasa,” katanya.

Dalam perbicaraan sama, Muhammad Rafique turut mencadangkan kewujudan sistem berteknologi tinggi yang mampu mengubah frekuensi kenderaan untuk memerangkap anak guamnya.

Beliau turut merujuk dua artikel iaitu ‘Car thefts on the rise in Malaysia - 10,849 vehicles stolen in 2024 up to Sept; pick-ups, SUVs targeted’ dan ‘Police: Online Bought Electronic Tools A Contributing Factor To Increasing Vehicle Theft In Malaysia’.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman membantah soalan itu ditujukan kepada SP7 kerana saksi terbabit bukan pegawai penyiasat, sebaliknya sekadar anggota yang terlibat dalam Ops Laras.

Muhammad Rafique kemudiannya menjelaskan, pembelaan berhak membangkitkan isu perangkap terhadap pasukan serbuan bila-bila masa.

Katanya, perkara itu relevan kerana pihak pembelaan ingin membuktikan wujudnya unsur perangkap.

Hakim: Apa relevannya soalan itu diajukan kepada saksi?

Muhammad Rafique: Saya ingin menunjukkan wujud unsur perangkap, termasuk kemungkinan frekuensi kenderaan dimanipulasi sehingga pintu kenderaan gagal dibuka oleh tertuduh atau anggota serbuan sendiri.

Mohd Sabri: Soalan ini sepatutnya ditujukan kepada pegawai penyiasat, bukan kepada saksi yang hanya bertindak sebagai anggota serbuan malah dia juga bukan ketua Ops Laras.

Muhammed Yusoff didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 Sept 2024.

Dia dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!