Edar dadah 191kg, dua lelaki Pakistan dihukum gantung sampai mati

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Pakistan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, kerana mengedar dadah jenis ketamin seberat 191.27 kilogram, pada enam tahun lalu.
Abdul Wahab, 60, dan Muhammad Rafiq, 52, dikenakan hukuman terbabit selepas Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pembelaan.
"Mereka dihukum gantung di leher sampai mati," kata hakim itu.
Selesai prosiding, beliau mengucapkan penghargaan kepada pasukan Kastam di atas tangkapan dan serbuan bagi kes tersebut.
Menurutnya, mahkamah berpuas hati dengan dokumentasi gambar dan bukti yang dikemukakan termasuk menghargai usaha pendakwaan yang mengendalikan kes sebelum ini.
Pada prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya, Syazwani Zawawi dan Muhammad Amin Azmi manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam, A Venkateswari dan A Rajee.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Abdul Wahab dan Muhammad Rafiq didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis ketamine masing-masing seberat 126,502 gram dan 63,790 gram di dua premis di Jalan Munshi Abdullah, Dang Wangi dan Taman Teluk Gedung Indah, Klang antara jam 4.30 petang dan 10.30 malam, 25 Mac 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Abdul Wahab turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama (ketamine) seberat 987.6 gram pada tempat, tarikh dan masa serupa
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman serupa, jika sabit kesalahan.
Seramai 19 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan, termasuk kedua-dua tertuduh memberi keterangan semasa perbicaraan kes yang bermula pada tahun 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

