Mapim rancang jadikan Sungai Petani 'Bandar Ulul Albab'

Mohd Azmi (tengah) ketika diskusi mengenai rancangan mewujudkan Bandar Ulul Albab.
Mohd Azmi (tengah) ketika diskusi mengenai rancangan mewujudkan Bandar Ulul Albab.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merancang menjadikan Sungai Petani sebagai 'Bandar Ulul Albab' dengan berkonsepkan Islam kontemporari.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kertas kerja berhubung cadangan itu akan dihantar secara rasmi kepada kerajaan negeri serta pihak terlibat dalam masa terdekat.

Menurutnya, berdasarkan perancangan, ia boleh dibangunkan secara empat fasa di mana fasa pertama membabitkan tempoh dua tahun untuk mengukuhkan infrastruktur sedia ada.

"Sungai Petani antara pusat pertumbuhan utama di Utara Semenanjung Malaysia, sangat berpotensi memandangkan lokasi ideal dan strategik di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika Diskusi Sungai Petani sebagai Bandar Ulul Albab di Pejabat Mapim, Baitul Ummah, Penghulu Him di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Azmi, Sungai Petani dilihat memiliki potensi untuk menjadi model bandar kerana bukan sahaja maju dari segi fizikal dan ekonomi, tetapi juga aspek spiritual, sosial dan intelektual selaras dengan konsep 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur'.

Menurutnya, Mapim kini sedang menggerakkan pelbagai inisiatif ke arah rancangan pembangunan berkenaan dengan memfokuskan kepada pembangunan ilmu, akhlak, nilai rabbani, inovasi, pembangunan ekonomi, kebajikan dan kelestarian alam sekitar.

"Malim menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, sektor korporat dan komuniti agar berganding bahu menjayakan misi ini demi melahirkan bandar yang berilmu, berakhlak dan diberkati.

Artikel Berkaitan:

"Kami yakin dengan usaha kolektif dan visi yang jelas, Sungai Petani mampu muncul sebagai bandar contoh yang bukan sahaja membangun secara fizikal, tetapi juga memacu kemajuan insani yang mampan dan harmoni," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!