[VIDEO] 'Saya masih muda'
KOTA KINABALU – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menentukan kedudukan beliau sama ada kontraknya akan dilanjutkan selepas tamat tempoh.
Azam berkata, beliau sentiasa menerima sebarang keputusan daripada kerajaan kerana pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri dan keputusannya bergantung pada kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Saya seorang yang akan menerima apa-apa keputusan daripada kerajaan, kerana perlantikan saya adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, di mana ini tertakluk kepada Seksyen 5 Akta SPRM 2009.
"Jadi, saya sebagai pro-kerajaan hanya orang yang menurut perintah sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang akan tamat pada Mei depan.
Ditanya sama ada masih boleh meneruskan perkhidmatannya, beliau dalam nada berseloroh memberi bayangan kesediaannya untuk mengalas tanggungjawab tersebut.
"Saya masih muda," katanya secara berseloroh.
Azam yang kini berusia 62 tahun menggalas jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak Mac 2020 dan selepas itu, kontraknya dilanjutkan selama setahun pada 10 Mei 2023 dan untuk setahun lagi pada tahun berikutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
