Kebakaran Putra Heights: Kerajaan akan bertanggungjawab pulih, bina semula kawasan tragedi

TAPAH - Kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab memulihkan dan membina semula kawasan yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, meskipun proses pembinaan tersebut merupakan fasa paling sukar, namun kerajaan beri jaminan untuk menguruskannya.
"Ini mengikut pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di mana kerajaan Madani ini sebuah kerajaan yang sangat prihatin.
"Kita akan bertanggungjawab memulihkan, membina semula kawasan tersebut," katanya kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 di Parlimen Tapah di sini pada Khamis.
KPKT dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan telah menyiapkan pelan tindakan membaik pulih dan membina semula rumah mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu.
Pelan tindakan yang dirangka pasukan Petugas Khas itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi nota khas Jemaah Menteri pada Rabu.
Kor Ming berkata, pemulihan dan pembinaan di kawasan itu akan digerakkan sebaik pelan tindakan tersebut diluluskan.
"Kita akan membuat pengumuman secepat mungkin setelah saya berbincang dengan Menteri Besar Selangor dan Petronas.
"Terdapat 219 rumah terjejas, ada yang hangus terbakar serta ada yang perlu dibaikpulih segera. Saya harap kerja kita ini akan dapat bermula secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata, tragedi kebakaran di kawasan tersebut kini telahpun memasuki fasa kedua iaitu fasa pemulihan.
Katanya, dalam lawatan ke tapak lokasi semalam, pihaknya dimaklumkan bahawa pengurusan tragedi itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu penyelematan, pemulihan dan pembinaan.
"Fasa pertama kerja penyelamatan sudah selesai.
"Fasa kedua iaitu kerja pemulihan pada hujung minggu ini kita akan gerakkan lebih 2000 orang SWcorp, JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), PBT (pihak berkuasa tempatan) team Selangor turun untuk buat kerja pembersihan pada Sabtu dan Ahad.
"Kerja fasa terakhir adalah fasa pembinaan. Itu yang paling sukar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

