[VIDEO] Pasangan warga emas ikhlas bersihkan muntah
MELAKA - Pasangan warga emas yang membersihkan muntah individu tidak dikenali di sebuah kedai makan di Bukit Rambai, Sabtu lalu, tidak menyangka tindakan kecil mereka tular di media sosial.
Zulkifle Mohamad Nor, 69, berkata, ketika itu dia dan isterinya, Sharifah Salim, 64, baru selesai makan sebelum terlihat wanita terbabit, yang dianggarkan berusia 20-an, dalam keadaan lemah di meja makan. Mereka segera menghampiri wanita itu dan bertanya kepada seorang individu lain bernama Hazwani.
Menurutnya, terbit rasa simpati melihat keadaan wanita itu yang seorang diri di meja makan tersebut. Dia segera menghubungi seorang rakan, yang juga doktor perubatan bernama Dr Sam untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, selepas Dr Sam membuat pemeriksaan, wanita itu mula muntah dengan banyak. Lebih menyedihkan, tiada waris keluarga berada di samping wanita tersebut ketika kejadian itu berlaku.
"Tindakan kami suami isteri spontan. Masa itu, saya hanya fikirkan kalau perkara sebegitu berlaku kepada anak saya, apa yang akan saya lakukan. Saya tidak terfikir tentang rasa geli atau apa-apa.
"Jadi kami terus ambil tisu dan bersihkan tangan serta jari wanita itu yang terkena muntah. Apa yang kami buat hanya sekadar membantu, tapi tak sangka ia menjadi viral," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bertam Ulu pada Selasa.

Zulkifle, yang memiliki dua cawangan stesen minyak di negeri ini berkata, biarpun berharta, itu bukan penghalang untuk mereka melakukan kebaikan tanpa mengira latar belakang seseorang, lebih-lebih lagi jika mereka dalam keadaan terdesak dan memerlukan bantuan.
"Saya pun tak tahu ia boleh jadi viral, sebab kami buat atas rasa ihsan dan ikhlas nak membantu," katanya.
Sementara itu, isterinya, Sharifah Salim mengakui suaminya bukan sahaja seorang yang merendah diri, tetapi juga suka membantu mereka yang dalam kesusahan.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia bersikap baik hati dan prihatin dengan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja, biarpun individu itu tidak dikenali.
"Walaupun suami saya kurang pendengaran dan mengalami sakit saraf, semangat dia suka membantu itu buat saya terharu," katanya yang berasal dari Melaka.
Baru-baru ini, seorang individu bernama Hazwani Mohd Dah berkongsi pengalaman bertemu pasangan warga emas terbabit ketika berdepan seorang wanita yang rebah di kedai makan.
Menurut Hazwani, warga emas tersebut membersihkan muntah wanita itu dengan penuh kasih sayang, seperti menjaga anak sendiri.
"Pakcik lap sungguh-sungguh tanpa sikit pun rasa geli. Tanpa tersisa, walau di celah jari jemarinya. Dapat bayang tak? Mereka tinggal di situ sampai ambulans datang dan membawa wanita itu ke hospital.
"Semalam baru saya tahu, pakcik ini sebenarnya adalah pemilik Petronas di sekitar Melaka, yang saya tidak akan sebutkan," tulisnya.
Hantaran di media sosial Facebook itu dikongsi hampir 4,000 kali, menerima lebih 16,000 tanda suka, serta mendapat 415 komen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

